ULASAN l Apabila berlaku insiden kecederaan seorang wanita akibat dipukul oleh individu yang mana keluarganya dilanggar, kita tidak pula mendengar suara-suara tokoh agama atau pemimpin yang selama ini juara dalam isu-isu melibatkan perbezaan kaum atau agama.
Dalam kejadian itu, seorang pemandu wanita berusia 28 tahun lebam di bahagian rusuk dan belakang kepala akibat dipukul oleh seorang anggota tentera di Jalan Persiaran Senawang 4 di Seremban, akhir bulan lalu.

Ia susulan wanita itu, yang dikatakan tidak sempat mengelak ketika isteri anggota tentera laki tersebut, bersama anak mereka yang berusia tujuh tahun, tiba-tiba melintas sehingga menyebabkan kedua-dua mereka cedera ringan
Tidak seperti isu KK Mart atau isu kuil Hindu dan Masjid Madani baru-baru ini, insiden kecederaan yang melibatkan kaum yang sama (Melayu) tidak sangat disentuh. Sedangkan insiden tersebut melibatkan akhlak dan masyarakat Malaysia terutama orang Melayu yang semakin hilang sikap sabar dan toleransi.

Walau sekalipun pemandu tersebut bersalah kerana melanggar, tetapi tiada sesiapa yang berhak meletakkan undang-undang di tangan sendiri, malah tiada sesiapa yang mengatasi undang-undang.
Malaysia sebuah negara hukum yang mana sistem pentadbiran dan hal ehwal hidup rakyatnya dipandu dan ditetapkan oleh undang-undang.
Atas alasan ini, Rukun Negara meletakkan rukun-rukun penting gagasan dan teras Malaysia iaitu kedaulatan undang-undang serta kesopanan dan kesusilan.
Justeru, amat penting dalam kita memberikan komen dan pandangan mesti berpaksikan prinsip keadilan dan bukannya sentimen perkauman atau agama.
Inilah tuntutan Islam selaras firman Allah surah al-Maidah:8 “Janganlah kebencianmu terhadap suatu kaum mendorong kamu untuk tidak berlaku adil. Berlakulah adil kerana adil itu dekat dengan taqwa”.
Amanah membawa perjuangan Islam berpandukan kesesuaian (waqi’) Malaysia yang bermasyarakat majmuk.

Amanah memilih prinsip keadilan dan sederhana dan bukan emosi mengapikan sentimen perkauman dan agama dalam mengambil sikap di atas sesuatu isu.
Atas dasar universal ini yang dibawa banyak gerakan Islam negara lain, dasar ‘rahmatan lil a’lamin’ menjadi tunjang perjuangan Amanah. Dasar ini adalah selaras firman Allah surah an-Anbiya’:107 (Dan sesungguhnya kami tidak mengutusmu wahai Muhammad melainkan membawa rahmat kepada seluruh alam).
Walaupun ada pihak yang mempertikaikan dasar ‘rahmatan lil a’lamin kononnya sedikit lunak dengan kaum lain, tetapi Amanah tetap yakin dasar perjuangan berteraskan nilai sederahana dan toleransi ini sangat dituntut Islam dalam membina perpaduan kaum dalam negara ini.
Perpaduan kaum adalah kunci utama tatakelola baik, pemulihan ekonomi dan kemajuan negara ini.
FAIZ FADZIL adalah setiausaha agung Amanah.
Artikel ini adalah paandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.