ADS
mk-logo
Berita
PAS tuntut akses umum laporan kebakaran paip gas
Diterbitkan:  Apr 4, 2025 9:43 AM
Dikemaskini: 1:43 AM

PAS menuntut agar laporan awal mengenai kebakaran saluran paip gas Petronas di Putra Heights, yang dijadualkan hari ini, diumumkan secara telus dan boleh diakses kepada semua.

“Hari ini, seluruh negara menunggu laporan itu bukan semata-mata untuk mengetahui berapa panjang paip yang terbakar, atau berapa suhu api ketika ia meletup,” kata Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari.

Ahmad Fadhli Shaari

Menerusi satu hantaran di Facebook, dia berkata, rakyat menantikan jawapan sama ada sistem pemantauan berfungsi, siapa yang sepatutnya mengambil tindakan awal, siapa yang mengabaikan isyarat bahaya, dan paling penting, siapa yang seharisnya bertanggungjawab terhadap maapetaka itu.

Fadhli menegaskan, bagi merawat kepercayaan rakyat yang luka parah terhadap pihak berkuasa, ketelusan adalah penting.

ADS

Selain mengumumkan laporan itu, katanya, mereka yang bertanggungjawab mesti dinamakan dan dikenakan tindakan disiplin atau perundangan.

Dia juga mahu audit menyeluruh terhadap semua saluran paip gas di kawasan penempatan dimulakan serta-merta.

“Sistem aduan penduduk perlu diperkasa dan dijadikan indikator awal dalam sebarang pelan mitigasi risiko,” katanya.

Kebimbangan lain yang dibangkitkan oleh Fadhli ialah aktiviti pembinaan dan pembangunan yang berterusan berhampiran lokasi letupan saluran paip gas itu, yang telah mencetuskan kegelisahan orang ramai.

ADS

Merujuk maklumat yang tersebar di media sosial, dia menyatakan bahawa terdapat pelbagai aktiviti pembinaan, termasuk kerja tanah dan projek infrastruktur utiliti, dijalankan hanya beberapa meter dari laluan saluran paip gas tersebut.

“Persoalannya - adakah kerja-kerja itu dijalankan dengan pematuhan penuh kepada pelan utiliti bawah tanah yang telah diluluskan?

“Dalam bidang kejuruteraan utiliti, Utility Detection Survey (UDS) dan Utility Mapping with Ground Penetrating Radar (GPR) adalah keperluan asas sebelum kerja pengorekan (excavation) dijalankan di kawasan yang berpotensi mengandungi saluran gas atau kabel voltan tinggi.

“Jika pihak kontraktor pembinaan gagal melakukan verifikasi ini secara menyeluruh, risiko ‘third-party interference’ atau gangguan pihak ketiga kepada struktur paip gas akan meningkat - dan ini merupakan salah satu punca utama kebocoran atau kegagalan saluran paip dalam kes-kes global sebelum ini,” katanya lagi.

Fadhli seterusnya menegaskan kegagalan menjalankan Penilaian Risiko Pra-Pembinaan (PCRA) bagi kawasan yang menjadi laluan paip tekanan tinggi adalah satu pengabaian profesional yang serius.

Semalam, Menteri Besar Selangor Amirudin Shari menyatakan bahawa ketua polis negeri Hussein Omar Khan akan membentangkan maklumat terkini mengenai siasatan itu, yang akan merangkumi kedua-dua punca teknikal dan kemungkinan kecuaian atau faktor jenayah lain yang terlibat.

Siasatan teknikal itu diketuai oleh beberapa agensi termasuk Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, Petronas dan badan teknikal lain, manakala polis sedang menyiasat kemungkinan tindakan jenayah atau kecuaian.

Amirudin berkata, pasukan penyiasat juga akan meneliti video tular di media sosial mengenai kebakaran tersebut. Jika perlu, katanya, pihak berkuasa akan menghubungi individu yang menyiarkan video berkenaan untuk pengesahan lanjut.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS
ADS
ADS