ADS
mk-logo
Berita
Utamakan mangsa, bahas nanti - MB tolak gesaan PN buat sidang khas DUN

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari menolak gesaan supaya Dewan Undangan Negeri (DUN) bersidang bagi membincangkan insiden kebakaran paip gas di Putra Heights, Subang Jaya baru-baru ini.

Menegaskan keutamaan kini untuk menyalurkan bantuan kepada mangsa yang terkesan dalam kejadian 1 April itu, Amirudin berkata perbahasan mengenai perkara tersebut boleh dilakukan semasa sidang DUN yang dijadualkan pada bulan Julai nanti.

“Kita selesaikan dulu, siasatan dan sebagainya. Sekarang bukan masanya untuk berbahas di Dewan yang mulia. Ini masanya untuk kita selesaikan hal ini. Terutama dalam menyelesaikan isu keselamatan dan sebagainya.

“Sidang Dewan akan berlangsung bulan Julai nanti. Saya ras akita ada banyak masa dan kesempatan untuk bahas dengan lebih tertib dan lebih selesa,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat bersama jawatankuasa pengurusan bencana negeri.

ADS

Semalam, Ketua Pembangkang Selangor, Mohamed Azmin Ali menggesa menteri besar supaya memanggil sidang DUN Selangor bagi membincangkan kejadian itu.

“Sidang khas mesti dipanggil serta merta mengikut Perkara 10(3) Peraturan-Peraturan Tetap Dewan Negeri Selangor,” kata Azmin yang juga adalah setiausaha agung Perikatan Nasional (PN).

Perkara 10(3) menyatakan bahawa speaker DUN boleh memanggil persidangan semasa penangguhan dewan jika menteri besar memaklumkan speaker bahawa tindakan itu diperlukan kerana kepentingan awam.

Azmin menambah, siasatan berhubung insiden itu juga mesti dibentangkan dan dibahaskan di DUN.

Saluran paip gas Petronas di Putra Heights, Subang Jaya, Selangor dilaporkan meletup pagi semalam, menyebabkan kebakaran besar yang boleh dilihat daripada jarak beberapa kilometer jauhnya.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS
ADS
ADS