ADS
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Jangan sebar spekulasi kebakaran di Putra Heights - Shamsul Anuar
Diterbitkan:  Apr 3, 2025 3:22 PM
Dikemaskini: 7:24 AM

Orang ramai disaran untuk tidak menyebarkan sebarang maklumat atau berita tidak sahih berkaitan insiden kebakaran saluran gas Putra Heights, Subang Jaya, Selangor.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata polis dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sentiasa memantau rapat kandungan sedemikian bagi mengelak kekeliruan dalam kalangan masyarakat.

Shamsul Anuar

"Kepada masyarakat di luar sana, jika ingin mendapatkan maklumat boleh menerusi laman web atau ikuti kenyataan media rasmi yang dikeluarkan jawatankuasa terlibat.

"Hal ini bagi mengelak berlaku kekeliruan dan suasana tidak baik… mana-mana pihak yang mengambil kesempatan dan membuat sesuatu yang tidak baik akan berdepan tindakan undang-undang," katanya kepada pemberita selepas melawat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Masjid Putra Heights hari ini.

ADS

Insiden kebakaran besar yang berlaku pada 8.10 pagi Selasa itu mengakibatkan deretan kediaman serta harta benda, termasuk kenderaan dalam radius 500 meter dari lokasi kejadian, musnah dan rosak akibat bahang kebakaran.

Kejadian itu juga menyebabkan ratusan penduduk hilang tempat tinggal dan dipindahkan ke PPS, manakala puluhan lagi cedera dan dirawat di beberapa kemudahan kesihatan.

Shamsul Anuar berkata setakat ini polis menerima 108 laporan membabitkan kemusnahan harta benda daripada mangsa terlibat dengan anggaran kerugian masih dalam siasatan pihak berkuasa.

"Kita jangka laporan akan bertambah dari semasa ke semasa… ketika ini penugasan anggota polis melibatkan 116 orang dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) 30 petugas," katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS
ADS
ADS