Menjelang dialog awam atau mesyuarat ‘town hall’ dengan kuil-kuil di seluruh negara, Ahad ini, Malaysia Hindu Sangam (MHS) meminta maklumat terperinci mengenai tanah kuil untuk mengukuhkan cadangannya kepada kerajaan.
Dalam catatan di Facebook petang ini, MHS menekankan bahawa maklumat sedemikian akan membantu pasukan peguamnya untuk menyediakan sebarang perkembangan penting, khususnya ketika kebimbangan yang semakin ketara yang tersebar di media sosial.
“Seperti anda sedia maklum, kebimbangan mengenai tanah kuil Hindu semakin meningkat, terutama bagi kuil yang terletak di atas tanah bukan milik pengurusan masing-masing.
"MHS mengakui bahawa setiap isu tanah kuil adalah unik. Namun, untuk berusaha ke arah penyelesaian konkrit dan jangka panjang bagi menjaga kuil, kita mesti mengemukakan cadangan yang kukuh kepada kerajaan," kata kenyataan itu.
Rayuan itu ditujukan kepada pengerusi kuil, wakil-wakilnya, dan ahli majlis MHS negeri serta ahli majlis tempatan.

"Kerjasama anda adalah penting dalam memastikan langkah proaktif diambil untuk menangani cabaran ini. Marilah kita bekerjasama untuk melindungi dan memelihara kesucian kuil kita ini," kata MHS.
Pemindahan kuil Masjid India
Dialog awam itu dijadual berlangsung di Brickfields, Kuala Lumpur, pada 6 April, bermula jam 8 pagi hingga 3 petang.
Ia susulan perpindahan kontroversi Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman yang berusia 130 tahun di Jalan Masjid India untuk memberi laluan kepada pembinaan sebuah masjid.
Tindakan itumencetuskan reaksi polarisasi, dengan sesetengah pengguna media sosial mempersoalkan status undang-undang mengenai kuil-kuil Hindu di negara ini.
Kumpulan Facebook juga diwujudkan untuk melaporkan kuil-kuil seumpama itu.
BACA LANJUT: PANDUANKINI l Menyorot isu pindah kuil Hindu di tengah KL
Sebagai tindak balas kepada isu itu, satu komen di laman Facebook Hindu Sangam, mencadangkan agar MHS menjalankan pendaftaran di seluruh negara untuk mengenal pasti dan mendokumentasikan semua kuil Hindu.
"Bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa untuk mendapatkan hak milik tanah dan mewartakan kuil. Bangunkan sistem pemetaan digital untuk mengesan status undang-undang dan kepentingan sejarah kuil.

"Dokumentasi sejarah adalah penting dalam perkara ini, kerana tidak akan ada ruang untuk orang lain mempersoalkan kepentingan sejarah kuil. Pendaftaran ini mesti telus kepada semua penganut Hindu," petik komen itu.
Komen itu juga menggesa supaya lebih banyak bengkel dan seminar diadakan untuk mendidik jawatankuasa kuil mengenai undang-undang tanah, proses pewartaan, tadbir urus dan pematuhan.
Dengan peningkatan kebimbangan terhadap keselamatan tanah kuil, MHS menggesa penyertaan masyarakat untuk memastikan penyelesaian jangka panjang bagi melindungi tempat ibadat Hindu.