ADS
mk-logo
Berita
‘Nilai semula pelaburan asing, beri insentif pada pengusaha tempatan’
Diterbitkan:  Apr 3, 2025 2:17 PM
Dikemaskini: 6:37 AM

Gabungan Pembaharuan Undang-undang Buruh (LLRC) menggesa Malaysia untuk menilai semula kebergantungannya kepada pelaburan asing susulan "tarif timbal balik" oleh Amerika Syarikat sambil memberi amaran bahawa langkah itu membahayakan pekerja di kedua-dua negara.

Menurut gabungan itu, kerajaan perlu memberi insentif kepada industri tempatan supaya mereka melabur lebih banyak di dalam negara.

“Dalam jangka panjang, kerajaan Madani harus menyediakan insentif kepada pengusaha tempatan untuk melabur dalam bidang pembuatan dan perniagaan lain bagi menjana lebih banyak pekerjaan di negara ini.

Gopal Kishnam Nadesan

"Pelaburan domestik adalah sama pentingnya dengan pelaburan asing," kata Setiausaha Agung LLRC Gopal Kishnam Nadesan.

ADS

Katanya, sejak sedekad lalu, Malaysia telah menyaksikan lonjakan dalam pelaburan baharu dan penubuhan kilang pembuatan berikutan perang perdagangan AS-China dan usaha untuk mengurangkan risiko geopolitik.

“Fenomena itu mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan membawa teknologi baharu ke Malaysia.

"Dasar tarif baharu mungkin memaksa beberapa syarikat perkilangan keluar dari Malaysia dan menyebabkan penutupan kilang.

“Perkhidmatan puluhan ribu pekerja di Malaysia boleh ditamatkan kerana langkah tidak rasional itu," katanya dalam satu kenyataan.

ADS

Implikasi serantau yang teruk

Gopal memberi amaran bahawa pengumuman Presiden AS Donald Trump juga akan memberi kesan teruk kepada negara membangun Asia yang lain, termasuk Kemboja, Indonesia, Filipina, Vietnam, India, Bangladesh, Sri Lanka dan China.

Dia menegaskan bahawa negara-negara berkenaan berperanan penting dalam membekalkan produk mampu milik kepada pengguna AS.

“Adalah meragukan berapa banyak pekerjaan baharu akan diwujudkan di AS berikutan kos pengeluaran yang lebih tinggi dalam ekonomi terbesar di dunia itu.

"Tetapi pekerja AS, yang juga pengguna, mula-mula akan terjejas teruk oleh kos sara hidup yang lebih tinggi kerana tarif baharu akan meningkatkan harga produk yang diimport dari 24 negara.

“Malah, produk murah negara membangun telah membantu AS memerangi inflasi selama beberapa dekad," tambahnya.

Gopal berkata LLRC turut menggesa kerajaan AS untuk mempertimbangkan semula dasar tarifnya dan mencari penyelesaian yang saling menguntungkan dengan negara atau blok ekonomi yang terjejas.

"Perang perdagangan akan membawa kepada situasi kalah-kalah untuk semua negara," tambahnya.

Terdahulu, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri menyatakan bahawa Malaysia tidak akan mempertimbangkan tarif balik ke atas AS kerana meningkatkan duti import ke atas barangan Malaysia.

Kementerian itu mengesahkan komitmennya untuk berunding dengan pihak berkuasa AS untuk mencari penyelesaian "yang akan menegakkan semangat perdagangan bebas dan adil."

Pagi tadi, Trump mengumumkan tarif yang lebih tinggi ke atas puluhan negara untuk menangani defisit perdagangan AS. Malaysia fikenakan tarif timbal balik sebanyak 24 peratus.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS
ADS
ADS