ADS
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Pemuda PAS S'gor selar CIDB, beri amaran ‘jangan sembunyi tangan’
Diterbitkan:  Apr 3, 2025 12:25 PM
Dikemaskini: 4:25 AM

Pemuda PAS Selangor menyelar Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) selepas ia menarik balik kenyataan awal bahawa tiada aktiviti pembinaan dijalankan pada hari kebakaran saluran paip gas di Putra Heights.

“Kenyataan awal menafikan kewujudan sebarang aktiviti pembinaan, namun kemudian ditarik balik selepas bukti rakaman dashcam dari penduduk tempatan membongkar pembohongan itu.

Mohamed Sukri Omar

“Ini amat memalukan dan mengundang persoalan besar — siapa yang sedang dilindungi?” soal Ketua Pemuda PAS Selangor, Mohamed Sukri Omar dalam satu kenyataan hari ini.

Dia juga mengingatkan agar tidak cuba menggunakan Petronas sebagai kambing hitam untuk menutup kegagalan pihak lain.

ADS

“Jika benar Petronas cuai, buktikan secara profesional.

“Tetapi jika ini hanya helah untuk mengalihkan perhatian dari kecuaian kontraktor atau agensi penguatkuasa tempatan, maka kita tidak boleh berdiam diri,” katanya.

Tiga tuntutan

Mohamed Sukri juga mengingatkan kerajaan bahawa rakyat tidak bodoh, dan cubaan ‘cover line’ hanya akan mengundang kemarahan dan menghakis kepercayaan orang ramai.

Sehubungan itu, Pemuda PAS Selangor mengeluarkan tiga tuntutan:

  • Penjelasan segera dan terbuka daripada pihak kerajaan dan CIDB.

  • Siasatan bebas dan telus tanpa campur tangan politik.

  • Tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang lalai, tanpa kompromi.

“Keselamatan rakyat bukan bahan eksperimen atau bahan tawar-menawar politik. Dewan Pemuda PAS Selangor akan terus memantau isu ini dan tidak teragak-agak untuk menggerakkan mobilisasi anak muda jika kerajaan terus bermain wayang dan gagal bersikap jujur.

“Rakyat berhak tahu. Kebenaran mesti ditegakkan,” kata Mohamed Sukri lagi.

CIDB jamin kerjasama

Terdahulu, Malaysiakini melaporkan CIDB menjelaskan bahawa keputusan menarik balik kenyataan awal dibuat kerana tidak mahu mendahului proses siasatan yang masih berjalan dan membabitkan banyak pihak berkuasa.

ADS

Menurut agensi itu, sebagai badan yang bertanggungjawab terhadap pembangunan industri pembinaan negara, CIDB memberi jaminan akan membantu siasatan yang sedang dijalankan oleh pihak berkuasa terlibat.


BACA LANJUT: PANDUANKINI l Kebakaran di Putra Heights: Apa kita tahu setakat ini?


“CIDB ingin memohon maaf atas sebarang kekeliruan atau kebimbangan yang tercetus akibat kenyataan tersebut terutamanya kepada penduduk yang terkesan.

“Kami memahami kesulitan yang dihadapi dan berusaha memastikan perkara ini ditangani dengan penuh integriti dan ketelusan. Kami komited untuk memastikan setiap aspek kes ini diteliti secara menyeluruh dan adil,” menurut kenyataan itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS
ADS
ADS