ADS
mk-logo
Berita
Kerajaan mesti runding semula tarif baru dengan AS - Wan Fayhsal
Diterbitkan:  Apr 3, 2025 11:55 AM
Dikemaskini: 4:32 AM

Ahli Parlimen Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal menggesa kerajaan segera supaya berunding dengan Amerika Syarikat (AS) untuk pengurangan atau penstrukturan semula tarif timbal balik ke atas semua barangan import Malaysia.

Ini susulan pengumuman Presiden AS Donald Trump awal hari ini, yang mendedahkan tarif lebih tinggi untuk berpuluh-puluh negara dalam langkah menangani defisit perdagangan republik itu.

Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal

Dalam satu kenyataan, Wan Ahmad Fayhsal, yang merupakan ahli Parlimen Machang, berkata, tarif baru itu sebagai ‘tamparan hebat’ kepada ekonomi dunia dan negara, dengan Malaysia ‘tidak terkecuali terkesan secara signifikan’.

“Kerajaan juga harus menyediakan sokongan fiskal buat industri paling terkesan dengan pelaksanaan tarif baru ini, seperti elektrik dan elektronik (E&E), perabot dan produk kayu, serta tekstil dan pakaian, yang adalah sektor eksport utama negara.

ADS

“Kesan langsung daripada kenaikan tarif ini adalah pengurangan daya saing produk Malaysia di pasaran AS, kehilangan kontrak eksport, pengecilan operasi industri, dan peningkatan risiko pengangguran pekerja tempatan.

“Dalam jangka masa sederhana, ini akan menjejaskan pertumbuhan KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar) negara serta melemahkan nilai ringgit secara berterusan seperti yang sedang berlaku kini,” katanya.

Wan Ahmad Fayhsal juga mencadangkan kerajaan meluaskan eksport Malaysia, antara lain ke negara di Asia Barat dan Afrika, serta memperkukuh lagi peranan Petronas sebagai tulang belakang geoekonomi negara.

Trump membuat pengumuman tarif baru dari Rumah Putih pagi ini (4 pagi waktu Malaysia), dalam majlis ang disebut sebagai "Liberation Day".

ADS

Menurut carta yang dipegang Trump semasa pengumuman itu, Malaysia berada di tangga ke-11 dalam senarai itu selepas Switzerland dan Indonesia.

Katanya, Malaysia telah mengenakan tarif sebanyak 47 peratus ke atas produk AS dan menetapkan tarif timbal balik negara ini pada 24 peratus, sedikit melebihi separuh daripada kadar itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS
ADS
ADS