ADS
mk-logo
Berita
Ledakan gas: Kawah dalam 32 kaki, luas 70x80 kaki terbentuk - polis
Diterbitkan:  Apr 2, 2025 6:10 PM
Dikemaskini: 10:10 AM

Kebakaran saluran paip gas di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights, Subang Jaya, Selangor yang memakan masa hampir lapan jam untuk dipadamkan sepenuhnya semalam meninggalkan kesan yang ketara, dengan membentuk sebuah kawah sedalam 32 kaki.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya ACP Wan Azlan Wan Mamat berkata insiden itu juga mengubah landskap kawasan berkenaan, yang kini bertukar kepada lubang besar dengan keluasan kira-kira 70x80 kaki.

Wan Azlan berkata memasuki hari kedua kejadian hari ini, masih terdapat kebakaran kecil di beberapa rumah yang terlibat, biarpun kawasan utama kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya pada pukul 3.45 petang semalam.

“Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sudah menempatkan sebuah jentera dengan enam anggota bagi terus memantau sekiranya berlaku kebakaran lain untuk mengelakkan api merebak ke kediaman lain.

ADS

“Susulan daripada perkembangan itu juga, hanya penduduk di kawasan yang kurang terjejas dibenarkan masuk untuk mengambil barang keperluan dan dokumen penting dengan diiringi pasukan,” katanya yang ditemui pemberita di Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) di Subang hari ini.

Beliau berkata sehingga kini, 13 daripada 111 mangsa berada di zon merah, manakala baki 55 lagi mangsa menerima rawatan di zon kuning dan 43 orang di zon hijau.

“Daripada 111 mangsa itu, 75 orang menerima rawatan di Hospital Sultan Idris Shah Serdang dan Hospital Cyberjaya, manakala 36 lagi mangsa dirawat di hospital lain, antaranya Hospital Kuala Lumpur dan Hospital Sungai Buloh,” katanya.

Selain itu, Wan Azlan berkata 529 mangsa ditempatkan di dua pusat pemindahan sementara (PPS) iaitu di Dewan Masjid Putra Heights melibatkan 485 orang daripada 110 keluarga, manakala 44 orang daripada lapan keluarga lagi berlindung di Dewan Serbaguna Majlis Bandaraya Subang Jaya (Dewan Camelia).

Polis turut mengesahkan 235 premis serta 399 kenderaan terjejas dalam kejadian itu, dengan 59 laporan diterima antaranya berkaitan rumah dan kenderaan terjejas, kecederaan serta isu tanah.

Beliau berkata polis akan memanggil kontraktor yang dipercayai menjalankan projek pembangunan berhampiran lokasi kebakaran saluran paip gas itu, setelah dikenal pasti.

Sementara itu, Datuk Bandar Subang Jaya Datuk Amirul Azizan Abd Rahim mengesahkan projek pembangunan berhampiran lokasi kebakaran saluran paip gas itu mendapat kelulusan dan kebenaran yang sah sejak 2022.

Beliau berkata projek rumah kedai terbabit, yang dijadualkan siap pada Disember lepas, kini dalam fasa mendapatkan Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC).

“Semua kelulusan yang diperlukan diperoleh mengikut peraturan ditetapkan, sekali gus menjawab dakwaan netizen di laman sosial yang mempertikaikan status projek berkenaan,” katanya.

Amirul Azizan turut mengesahkan projek itu mendapat kelulusan untuk menggunakan kawasan Rizab Laluan (ROW) Petronas dan kontraktor terlibat juga panel yang diluluskan oleh agensi berkaitan.

Dalam perkembangan sama, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari meminta orang ramai yang mempunyai bukti berhubung salah laku berkaitan insiden itu supaya tampil memberi maklumat kepada polis.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS
ADS
ADS