ADS
mk-logo
Berita
PN gesa k'jaan Selangor kaji semula kerja-kerja di jajaran paip gas
Diterbitkan:  Apr 2, 2025 2:21 PM
Dikemaskini: 6:42 AM

Pembangkang Selangor menggesa kerajaan negeri mengkaji semula prosedur dan kaedah kelulusan untuk projek pembangunan yang berhampiran dengan jajaran saluran paip gas di negeri itu.

Ketua Pembangkang Selangor, Mohamed Azmin Ali, dalam satu kenyataan hari ini, turut menggesa Menteri Besar Amirudin Shari supaya memanggil sidang DUN Selangor bagi membincangkan kejadian itu.

“Sidang khas mesti dipanggil serta merta mengikut Perkara 10(3) Peraturan-Peraturan Tetap Dewan Negeri Selangor,” kata Azmin yang juga adalah setiausaha agung Perikatan Nasional (PN).

Perkara 10(3) menyatakan bahawa speaker DUN boleh memanggil persidangan semasa penangguhan dewan jika menteri besar memaklumkan speaker bahawa tindakan itu diperlukan kerana kepentingan awam.

ADS

Azmin menambah, siasatan berhubung insiden itu juga mesti dibentangkan dan dibahaskan di DUN.

Saluran paip gas Petronas di Putra Heights, Subang Jaya, Selangor dilaporkan meletup pagi semalam, menyebabkan kebakaran besar yang boleh dilihat daripada jarak beberapa kilometer jauhnya.

Laporan awal Jabatan Bomba dan Penyelamat menyatakan kebakaran itu berpunca akibat kebocoran saluran paip gas, dengan anggaran 500 meter bahagian saluran paip itu terbakar.

Menurut Ketua Pengarah Bomba, Noor Hisham Mohammad, setakat kira-kira jam 6 petang semalam, sebanyak 237 rumah dikesan musnah dengan 78 rumah dan 10 kedai rentung.

Daripada 305 mangsa, 125 mengalami kecederaan.

Azmin berkata kejadian itu menimbulkan persoalan mengenai tahap pematuhan dan penguatkuasaan dalam aspek keselamatan terutamanya di tapak pembinaan.

Dia juga berpandangan bahawa Petronas Berhad amat wajar membayar gantirugi kepada semua mangsa yang mengalami kecederaan dan kerugian.

“Satu pasukan petugas (task force) yang mempunyai talian terbuka mesti ditubuhkan segera untuk mengumpul data dan maklumat mangsa termasuk data kerugian dan kecederaan.

“Pasukan petugas ini bertanggungjawab memberi nasihat kepada Petronas untuk memberikan gantirugi yang berpatutan kepada semua mangsa sebagai penyelesaian yang adil dan berperi kemanusiaan,” katanya.

Bantuan dan pampasan

Menurut pembantu Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad, Petronas memaklumkan bahawa syarikat itu akan membayar semua kos rawatan mangsa di hospital kerajaan.

Awal hari ini, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata ia akan berunding dengan Petronas dan kerajaan negeri untuk menyelaras bantuan perumahan bagi mangsa yang rumah mereka rosak atau musnah.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim semalam berkata Petronas sedang berbincang dengan kerajaan mengenai langkah sementara untuk mangsa.

Anwar juga mengingatkan bahawa perbincangan akan mengambil masa, manakala pembaikan atau penggantian rumah mungkin mengambil masa setahun atau lebih.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS
ADS
ADS