Polis sedang menyiasat dua syarikat pembinaan berhubung kebakaran saluran paip gas Petronas di Putra Heights, Subang Jaya, semalam yang menyaksikan ratusan mangsa cedera dan ramai lagi kehilangan tempat tinggal.
Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan, ketika dihubungi, mengesahkan pemaju dan kontraktor utamanya adalah antara yang sedang diteliti pihak berkuasa.

"(Ia) antara skop siasatan (kami)," katanya ringkas dalam mesej teks.
Malaysiakini menghubungi Hussein pagi ini untuk memeriksa jika ada syarikat berkenaan adalah antara yang disiasat, kerana pihak berkuasa sedang cuba untuk menentukan punca saluran paip gas Petronas tersebut bocor dan terbakar.
Sejak kebakaran pagi semalam itu, dakwaan tersebar di media sosial kononnya ia ada kaitan dengan kerja-kerja menggorek tanah berkaitan projek pembinaan berhampiran.
Ramai pengguna media sosial turut berkongsi visual kerja-kerja pembinaan yang dikatakan itu, termasuk gambar yang menunjukkan jentera berat yang didakwa menceroboh tanah yang dikhaskan untuk saluran paip.
Nama-nama syarikat itu tidak disiarkan sementara menunggu ulasan mereka. Malaysiakini telah menghubungi kedua-dua syarikat berkenaan untuk mendapatkan maklum balas mereka.
BACA LANJUT: PANDUANKINI l Kebakaran di Putra Height: Apa kita tahu setakat ini?
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Subang Jaya ACP Wan Azlan Wan Mamat ketika bercakap kepada pemberita di tempat kejadian pagi tadi, berkata seramai 111 mangsa mendapatkan rawatan di hospital susulan kebakaran semalam.

Katanya, 80 daripada mangsa sedang dirawat di hospital kerajaan di Putrajaya, Cyberjaya dan Serdang, manakala 31 lagi di hospital swasta.
Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad dan Ahli Parlimen Bandar Tun Razak Wan Azizah Wan Ismail melawat mangsa kebakaran di Hospital Serdang semalam.
Wan Azlan berkata jumlah itu meningkat sejak semalam kerana beberapa mangsa yang sebelum ini dipindahkan ke pusat perlindungan sementara mengadu sesak nafas dan dihantar untuk rawatan.

Jumlah rumah dan kenderaan yang terjejas juga meningkat masing-masing kepada 235 dan 399 termasuk 87 rumah dan 225 kenderaan yang terbakar.