Di sebalik apa yang melanda negara pada hari kedua Aidilfitri yang dianggap satu malapetaka, namun pada masa yang sama kebakaran dan letupan saluran paip gas di Putra Heights itu mempunyai hikmah dan memberi pengertian tentang perpaduan sebenar di negara ini.
Berkongsi gambar seorang lelaki Islam sedang menunaikan solat di Kuil Sri Maha Kaliamman di Jalan Putra Harmoni, Menteri Perpaduan Negara Aaron Ago Dagang memuji semangat perpaduan sebenar di kalangan rakyat negara ini.

Semalam, kuil itu dan juga Masjid Putra Height smembuka pintu masing-masing menerima mangsa kebakaran yang cedera. Dalam kejadian itu ratusan yang terjejas manakala rumah dan kenderaan mereka turut musnah.
Sambil merakamkan penghargaannya kepada masjid dan kuil berkenaan, Aaron berkata: usaha ini mencerminkan semangat perpaduan, kebersamaan, dan nilai kemanusiaan yang membentuk asas masyarakat Malaysia yang harmoni.
“Peristiwa ini mengingatkan kita bahawa perpaduan bukan sekadar slogan, tetapi perlu diterjemahkan dalam bentuk tindakan yang menunjukkan rasa tanggungjawab dan keprihatinan terhadap satu sama lain.

“Buktinya rumah ibadat bukan hanya sebagai tempat beribadah, tetapi juga sebagai pusat komuniti yang dapat memainkan peranan penting dalam membantu masyarakat, terutama ketika menghadapi saat-saat sukar,” katanya.
Dia seterusnya berkata tindakan yang dilakukan oleh masjid dan kuil membuktikan kepelbagaian agama bukanlah penghalang kepada perpaduan, sebaliknya kekuatan yang menyatukan rakyat negara ini.
“Dalam menghadapi sebarang cabaran, kita sebagai rakyat Malaysia perlu sentiasa mengamalkan sikap saling kasih sayang dan menyokong, tanpa mengira latar belakang agama dan bangsa.
“Usaha seperti ini wajar dijadikan contoh dan inspirasi kepada semua pihak untuk memainkan peranan dalam membina sebuah negara yang bersatu padu dan harmoni.
“Ini Malaysia yang sebenar!” katanya.

Kenyataan Aaron itu dibuat ketika ketegangan yang memuncak berhubung pemindahan kuil Hindu berusia 130 tahun di Kuala Lumpur untuk memberi laluan kepada pembinaan sebuah masjid. Ini mengundang pandangan dan pendirian yang berdasarkan perkauman dan juga menjadiakan suasana panas, termasuk wujudnya ancaman keganasan di media sosial.
Semalam, pejabat menteri memfailkan laporan kepada SKMM terhadap seorang pengguna media sosial yang menggesa supaya “memerangi” kaum India seperti mengulangi tagedi berdarah 13 Mei 1969.
Individu yang dimaksudkan oleh menteri itu, merupakan pengguna X dengan nama Amir Ridhwann yang telah mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman yang melampau.

Dia dilaporkan menulis "sekarang ni memang elok perang je Melayu dengan Keling ni. Baru dorang tahu tempat dorang kat mana."
Dia turut menghina komuniti India dengan menyifatkan mereka sebagai “bodoh” dan menuduh mereka membina "kuil beratus-ratus di tanah haram” walaupun hanya mewakili tujuh peratus daripada penduduk negara ini.
Menyuarakan kebimbangan yang sama, Pengerusi Urimai P Ramasamy turut menekankan bahawa perpaduan spontan semasa kebakaran itu membuktikan bagaimana kuil, masjid, gereja dan institusi agama lain boleh berfungsi sebagai pusat penting untuk bantuan kemanusiaan semasa krisis.
"Sepanjang sejarah, tempat ibadat telah berfungsi lebih daripada sekadar tempat perlindungan agama. Ia adalah hab komuniti, tempat perhimpunan untuk bantuan, dan tiang sokongan pada masa ia diperlukan," katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, Ramasamy turut mengkritik Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan kerajaannya berhubung pemindahan Kuil Devi Sri Pathrakialiamman di Jalan Masjid India.
Katanya, daripada mengiktiraf dan memelihara institusi sedemikian, kerajaan Madani lebih mengutamakan keuntungan politik berbanding perpaduan sosial.
“Pengajaran di sini jelas: politik perpecahan yang menjejaskan kesucian institusi agama hanya melemahkan fabrik masyarakat.
“Pemimpin mesti faham bahawa tempat-tempat ini bukan struktur semata-mata, tetapi talian hayat untuk komuniti yang dalam kesusahan.
“Semangat belas kasihan dan khidmat, seperti yang dihulurkan oleh kuil Sri Maha Kaliamman dan masjid-masjid, harus menjadi contoh kepimpinan sejati—yang melampaui kaum, agama, dan cita-cita politik,” katanya lagi.