Saluran paip gas yang terbakar di Putra Heights, Subang Jaya berjaya dipadamkan sepenuhnya pada jam 3.45 petang, kata Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari.
Dia berkata kesemua mangsa kini ditempatkan di pusat pemindahan sementara manakala mereka yang memerlukan rawatan sedang dirawat di Pusat Perubatan Subang Jaya, Pusat Perubatan Sunway, Hospital Serdang, dan Hospital Putrajaya.
"Sehingga kini, seramai 305 mangsa telah berjaya diselamatkan, masing-masing ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara serta Hospital Subang Jaya Medical Centre, Sunway Medical Centre, Hospital Serdang, dan Hospital Putrajaya.
"Syukur Alhamdulillah, setakat jam 5 petang ini dilaporkan tiada kematian yang dicatatkan dalam insiden ini.

"Keutamaan pada masa sekarang adalah keselamatan para penduduk," katanya melalui hantaran di media sosial.
Dia turut memaklumkan dua kawasan perumahan yang terlibat kini dikategorikan sebagai zon larangan masuk sehingga keadaan benar-benar selamat untuk penduduk pulang ke rumah masing-masing.
Saluran paip gas tersebut meletus dan terbakar pada pagi tadi, menghasilkan kebakaran besar yang boleh dilihat dari beberapa kilometer jauhnya.
Menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi Bomba dan Penyelamat Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar, mereka menerima panggilan kecemasan mengenai insiden tersebut pada jam 8.23 pagi.

Berdasarkan laporan awal Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), kebakaran itu berpunca daripada kebocoran saluran paip gas, melibatkan kira-kira 500 meter bahagian paip yang dijilat api.
Sekitar jam 4 petang, Ketua Pengarah JBPM, Nor Hisham Mohammad dipetik Bernama sebagai berkata’ masih terlalu awal untuk menentukan punca sebenar kebakaran.
Terdahulu, Petronas mengesahkan kebakaran itu berlaku pada saluran paip utama milik mereka berhampiran Putra Heights.
Pada satu lagi kenyataan, syarikat itu turut memaklumkan tiga stesen minyak berhampiran — PS Putra Heights, PS KM2 LDP, dan PS Putra Bestari — tidak terjejas secara langsung tetapi telah ditutup sementara sebagai langkah berjaga-jaga.

Pelanggan boleh menggunakan stesen alternatif berikut untuk keperluan mengisi minyak mereka — PS USJ 20, USJ 6, dan USJ 9, menurut kenyataan itu.