Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Rural Malaysia menggesa agar pemantauan lebih rapi serta peningkatan kesedaran dilakukan terhadap infrastruktur gas negara.
Setiausaha Agungnya, Anuar Mahmod berkata kejadian kebakaran paip gas di Putra Heights hari ini menunjukkan keperluan mendesak untuk memperbaiki aspek pemantauan dan penyelenggaraan infrastruktur tersebut.
Mereka menyeru pihak berkuasa, syarikat utiliti dan kontraktor agar mengambil langkah pencegahan demi menjamin keselamatan penduduk sama ada di kawasan bandar mahupun luar bandar.
“Sebagai sebuah pertubuhan yang memperjuangkan kesejahteraan masyarakat luar bandar, kami melihat bahawa risiko kejadian serupa boleh berlaku di mana-mana, lebih-lebih lagi di kawasan yang infrastrukturnya kurang diberi perhatian.
"Penduduk luar bandar sering kali tidak mempunyai akses kepada maklumat keselamatan yang mencukupi serta infrastruktur yang dipantau secara berkala. Ini menjadikan mereka lebih terdedah kepada bahaya sekiranya berlaku kecemasan seperti kebocoran gas.
"Kami menggesa pihak berkuasa, syarikat utiliti, dan kontraktor untuk mengambil langkah-langkah berikut bagi memastikan keselamatan penduduk, baik di bandar mahupun luar bandar,” katanya.
Antara cadangan Anuar termasuklah pemeriksaan dan penyelenggaraan paip gas secara berkala, sistem amaran awal untuk mengesan kebocoran di kawasan berisiko tinggi, serta program kesedaran agar penduduk setempat mengetahui keberadaan paip-paip ini serta langkah keselamatan dan tindakan kecemasan yang perlu diambil.
Turut disarankan ialah kerjasama yang lebih erat antara pihak berkuasa, syarikat utiliti, dan komuniti setempat bagi merangka pelan tindak balas kecemasan yang boleh menangani kebocoran gas dengan cepat dan berkesan.
Kontraktor yang terlibat dalam pembangunan infrastruktur juga perlu bertanggungjawab sepenuhnya untuk mematuhi piawaian keselamatan sepanjang kerja-kerja dijalankan, manakala pemeriksaan dan audit dilakukan untuk memastikan pematuhan.
“Kami menekankan bahawa keselamatan penduduk harus menjadi keutamaan dalam sebarang pembangunan infrastruktur. Kejadian seperti ini tidak sepatutnya berlaku, dan semua pihak berkepentingan perlu memainkan peranan masing-masing bagi mencegah insiden seumpama ini daripada berulang,” kata Anuar.
Terdahulu, sebatang paip gas telah terbakar di Putra Heights, Puchong pagi ini, menyebabkan api marak besar yang dapat dilihat dari beberapa kilometer jauhnya. Punca kebakaran masih dalam siasatan.
Seramai 112 mangsa yang cedera telah dipindahkan, dengan 63 daripada mereka dihantar ke hospital di Cyberjaya, Serdang, dan Putrajaya untuk rawatan akibat melecur, masalah pernafasan, dan kecederaan lain.
Lagi 49 orang menerima rawatan awal di Kuil Sri Maha Kaliamman di Subang Jaya.
Pusat pemindahan sementara turut didirikan di Masjid Nurul Iman dan Masjid Putra Heights.
Setakat jam 3.40 petang, Jabatan Bomba dan Penyelamat memaklumkan sebanyak 190 buah rumah, 148 buah kereta, dan 11 buah motosikal telah rosak akibat kebakaran dan gelombang haba yang terhasil. Kebakaran kini hampir sepenuhnya dipadamkan.