Laluan antara Seafield dan Bandar Saujana Putra di lebuh raya Elite telah dibuka semula selepas kebakaran saluran paip gas di Putra Heights, Subang Jaya, awal pagi tadi dilaporkan semakin reda.
Laluan berkenaan dibuka semula sekitar 1.51 tengah hari, kata Plus Malaysia Berhad.

“Susulan kejadian kebakaran di Putra Heights berhampiran Lebuhraya Elite, laluan antara Seafield dan Bandar Saujana Putra ditutup kepada semua kenderaan sebagai langkah keselamatan.
"Sehubungan dengan ini, Plus Malaysia ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pengguna lebuh raya atas sokongan, kerjasama dan kesabaran mereka semasa penutupan," katanya dalam satu kenyataan.
Sebelum ini, Plus Malaysia Berhad dalam kenyataan memaklumkan, pengguna menghala ke selatan akan dilencongkan ke Plaza Tol Seafield sebelum masuk semula ke lebuh raya menerusi Plaza Tol Bandar Saujana Putra.

“Sementara itu, pengguna menghala ke utara diarahkan keluar di Plaza Tol Bandar Saujana Putra dan masuk semula melalui Plaza Tol Seafield.
“Dalam pada itu, semua laluan masuk ke Lebuh raya Elite menerusi Plaza Tol USJ dan Putra Heights turut ditutup,” menurut kenyataan itu.
Orang ramai dinasihatkan merancang perjalanan dan menggunakan aplikasi navigasi seperti Waze atau Google Maps bagi mengelak kesesakan.
- Bernama