ADS
mk-logo
Berita
Sykt baru kendali operasi Menara KL mulai hari ini
Diterbitkan:  Apr 1, 2025 8:00 AM
Dikemaskini: 2:06 PM

Pengambilalihan konsesi melibatkan Menara Kuala Lumpur (Menara KL) tidak akan menjejaskan operasi dan pekerja di menara komunikasi antara yang tertinggi di dunia itu, menurut Kementerian Komunikasi.

Kementerian berkenaan, menerusi soalan lazim (FAQ) mengenai konsesi pengurusan Menara KL, memaklumkan rundingan bersama syarikat konsesi baharu LSH Service Master Sdn Bhd (LSHSM) telah menggariskan terma-terma yang tidak menjejaskan operasinya, yang akan berjalan seperti biasa.

FAQ itu juga memaklumkan semua pekerja sedia ada, yang berkhidmat dengan Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd (MKLSB), telah diberi jaminan oleh kerajaan untuk terus ditawarkan pekerjaan oleh syarikat pengurusan baharu iaitu LSHSM bermula 1 April 2025.

"Ia berdasarkan prinsip no less favourable dan perkara ini telah dimasukkan dalam perjanjian konsesi antara kerajaan dan LSHSM," menurut FAQ berkenaan yang dikeluarkan oleh Kementerian Komunikasi semalam.

ADS

Mengenai persoalan mengenai mengapa kerajaan menukar konsesi Menara KL, FAQ itu memaklumkan ia adalah kerana tempoh konsesi sedia ada telah tamat.

"Kebanyakan konsesi diberikan untuk jangka masa tertentu, contohnya bagi tempoh 10, 15 atau 30 tahun, apabila tempoh konsesi tamat, kerajaan perlu membuka semula tawaran supaya syarikat lain berpeluang bersaing. Ini memastikan ketelusan dan mengelakkan monopoli berpanjangan oleh satu pihak," katanya.

Turut dimaklumkan tempoh konsesi baharu ialah selama 20 tahun, bermula hari ini 1 April 2025.

Menurut FAQ, Menara KL tidak pernah dijual kepada mana-mana pihak dan masih kekal dimiliki oleh Kerajaan Malaysia.

“Hanya pengurusan dan penyenggaraan menara tersebut sahaja diuruskan oleh syarikat yang dilantik oleh kerajaan melalui proses notis pelawaan cadangan (RFP),” katanya.

Ia turut memaklumkan sebanyak lima syarikat telah menghantar RFP dan MKLSB adalah antara syarikat terbabit.

“Kontrak pengurusan dan pengoperasian Menara KL oleh MKLSB berakhir pada 31 Mac 2025 melalui perjanjian interim lanjutan ke-5.

“Mulai 1 April 2025, Menara KL akan diuruskan oleh syarikat LSHSM yang telah terpilih melalui proses RFP iaitu sejenis tender terbuka,” menurut FAQ.

Berikut soalan lazim penuh berhubung konsesi penguruasan Menara KL.

1. Apakah perbezaan Menara KL dan Menara KL Sdn Bhd (MKLSB)?

Menara Kuala Lumpur (Menara KL) adalah menara komunikasi dan pelancongan yang terletak di pusat bandar Kuala Lumpur, Malaysia. Ia mempunyai ketinggian 421 meter dan merupakan salah satu menara telekomunikasi tertinggi di dunia.

Menara ini dimiliki oleh Kerajaan Malaysia dan telah dibina melalui konsep penswastaan [Kaedah Bina-Kendali-Pindah (BOT)] di atas lima (5) tanah milik Pesuruhjaya Tanah Persekutuan (9.903 ekar) dan satu (1) tanah milik TM (0.88 ekar).

ADS

Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd (MKLSB) ialah syarikat yang bertanggungjawab mengurus dan menyenggara Menara KL. Ia beroperasi sebagai pemegang konsesi yang mengendalikan aktiviti pelancongan, pengurusan acara, penyewaan ruang, dan penyenggaraan menara.

Sebelum tahun 2022, MKLSB adalah anak syarikat milik penuh Telekom Malaysia Berhad (TM) sejak tahun 1996, yang mengendalikan operasi Menara KL di bawah konsesi kerajaan.

Bermula Disember 2022, TM menjual 100 peratus saham MKLSB kepada Hydroshoppe Sdn Bhd. Pada Mei 2024, kerajaan menganugerahkan konsesi baharu selama 20 tahun kepada LSH Service Master Sdn Bhd, syarikat usaha sama antara LSH Best Builders Sdn Bhd (70%) dan Service Master (M) Sdn. Bhd. (30%).

Konsesi ini berkuatkuasa 1 April 2025.

2. Adakah Menara KL milik kerajaan?

Ya. Menara KL adalah menara komunikasi dan pelancongan milik kerajaan.

3. Siapa pemilik MKLSB?

Sebelum tahun 2022, MKLSB adalah anak syarikat milik penuh Telekom Malaysia Berhad (TM) sejak tahun 1996, yang mengendalikan operasi Menara KL di bawah konsesi kerajaan.

Bermula Disember 2022, TM menjual 100 peratus saham MKLSB kepada Hydroshoppe Sdn Bhd.

4. Siapa pemilik LSH Service Masters Sdn. Bhd. (LSHSM)?

LSH Service Masters Sdn Bhd (LSHSM) ialah syarikat terlantik (SPV) khusus untuk kontrak konsesi operasi dan penyenggaraan Menara KL. Ia adalah syarikat yang dimiliki secara gabungan antara syarikat LSH Best Builders Sdn Bhd (70%) dan Service Master (M) Sdn Bhd (30%).

5. Bilakah pengambilalihan pengurusan pengoperasian berlaku antara MKLSB dan LSH?

Kontrak pengurusan dan pengoperasian Menara KL oleh MKLSB berakhir pada 31 Mac 2025 melalui perjanjian interim lanjutan ke-5. Mulai 1 April 2025, Menara KL akan diuruskan oleh syarikat LSHSM yang terlah terpilih melalui proses notis pelawaan cadangan (request for proposal – RFP) iaitu sejenis tender terbuka.

6. Bagaimanakah konsesi ini dibida?

Konsesi ini dibida melalui proses notis pelawaan cadangan [request for proposal (RFP)] yang diputuskan oleh Jemaah Menteri pada 13 Disember 2023.

7. Berapa lamakah tempoh konsesi ini?

Selama 20 tahun mulai 1 April 2025.

8. Berapakah pembida yang telah menyertai notis pelawaan cadangan [request for proposal (RFP)]?

Sebanyak lima (5) syarikat telah menghantar RFP dan MKLSB adalah salah satu daripada Syarikat tersebut.

9. Kenapa kerajaan menukar konsesi Menara KL?

Atas budi bicara kerajaan untuk membuka semula tawaran pengurusan dan pengoperasian kepada semua pihak.

Ini kerana sesuatu proses notis pelawaan cadangan [request for proposal (RFP)] untuk konsesi pengurusan dan pengoperasian boleh dibuat semula walaupun sesebuah syarikat telah lama memegang konsesi sedia ada berdasarkan beberapa sebab seperti berikut:

a) Tempoh konsesi telah tamat

i. Kebanyakan konsesi diberikan untuk jangka masa tertentu (contohnya bagi tempoh 10, 15, atau 30 tahun).

ii. Apabila tempoh konsesi tamat, kerajaan perlu membuka semula tawaran supaya syarikat lain berpeluang bersaing. Ini memastikan ketelusan dan mengelakkan monopoli berpanjangan oleh satu pihak.

iii. Memberi peluang kepada syarikat lain yang lebih cekap untuk mengambil alih pengurusan.

b) Tawaran lebih baik dari pesaing

i. Apabila RFP dibuka semula, kerajaan boleh mendapatkan tawaran lebih kompetitif dari segi:

• Harga yang lebih rendah

• Teknologi lebih canggih

• Perkhidmatan lebih berkualiti

• Inovasi dalam pengurusan dan operasi

10. Adakah pengambilalihan pengurusan ini akan menjejaskan operasi Menara KL?

Tidak. Rundingan bersama syarikat konsesi baharu, LSHSM telah menggariskan terma-terma yang tidak menjejaskan operasi Menara KL dan akan berjalan seperti biasa.

11. Adakah MKLSB telah dimaklumkan lebih awal tentang tarikh kuat kuasa pengambilalihan pengurusan pengoperasian Menara KL?

MKLSB yang dimiliki oleh Hydroshoppe telah maklum mengenai tarikh kuat kuasa pengambilalihan pengurusan pengoperasian Menara KL oleh LSHSM sejak mereka menandatangani perjanjian interim lanjutan kelima dengan kerajaan mulai 1 Julai 2024.

12. Adakah benar Menara KL dijual?

Tidak. Menara Kuala Lumpur tidak pernah dijual kepada mana-mana pihak dan masih kekal dimiliki oleh Kerajaan Malaysia. Hanya pengurusan dan penyenggaraan menara tersebut sahaja diuruskan oleh syarikat yang dilantik oleh kerajaan melalui proses notis pelawaan cadangan [request for proposal (RFP)].

13. Adakah pekerja Menara KL terjejas dengan pengambilalihan konsesi ini?

Tidak. Semua pekerja sedia ada di Menara KL yang sedang bekerja dengan MKLSB telah diberi jaminan oleh kerajaan untuk terus ditawarkan pekerjaan oleh syarikat pengurusan baharu iaitu LSHSM bermula 1 April 2025 berdasarkan prinsip "no lessfavourable" dan perkara ini telah dimasukkan dalam perjanjian konsesi antara kerajaan dan LSHSM.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS
ADS
ADS