Warisan mempertahankan tindakannya mempersoalkan perancangan sambutan rasmi hari jadi Yang di-Pertua Negeri Sabah, Musa Aman, selepas Ketua Menteri Hajiji Noor menuduh parti itu menyeret institusi Istana ke dalam kancah politik.
Presidennya Mohd Shafie Apdal berkata soalan yang ditimbulkan hanyalah pertanyaan ikhlas dan bukanlah serangan mahupun penghinaan terhadap pihak Istana Negeri.
“Wang awam mesti dibelanjakan secara berhemah. Setiap ringgit perlu ada justifikasi yang kukuh.
"Dalam sistem demokrasi, mengemukakan soalan mengenai perbelanjaan kerajaan bukanlah satu kesalahan. Malah, ia bukan sahaja dibenarkan, malah diperlukan. Inilah asas kepada konsep semak dan imbang.

"Jika pemimpin tidak boleh disoal, terutama tentang bagaimana dana awam digunakan, maka jelas ada sesuatu yang tidak kena,” katanya pada satu kenyataan hari ini.
Pada Khamis lalu, Timbalan Presiden Warisan Darell Leiking, dan Ketua Penerangan parti itu, Azis Jamman mengkritik dakwaan perancangan kerajaan Sabah untuk mengadakan sambutan rasmi hari jadi Yang di-Pertua Negeri selama tiga bulan, dengan menyatakan bahawa ia menunjukkan keutamaan yang salah dan merupakan pembaziran dana.
Bagaimanapun, Timbalan Ketua Menteri Sabah, Joachim Gunsalam kemudian menjelaskan hanya tujuh acara akan diadakan pada bulan Jun, walaupun tarikh sebenar hari jadi Musa jatuh pada 30 Mac.
Tambahnya, kos sambutan tahun ini adalah 30 peratus lebih rendah berbanding tahun lepas yang menyaksikan 12 acara dianjurkan sempena hari jadi rasmi.

Terdahulu, Hajiji dilaporkan mengecam kenyataan dua pemimpin Warisan itu yang didakwa cuba mempolitikkan sambutan tersebut.
"Sebagai ketua menteri, saya bertanggungjawab untuk melindungi dan mempertahankan institusi istana, tanpa mengira siapa yang menjadi Yang di-Pertua Negeri.
"Jelas sekali politik telah mengaburi pertimbangan mereka (Darell dan Mohd Azis), sehingga gagal membezakan perbezaan asas antara kerajaan, politik, dan institusi Istana (Sabah).
"Istana adalah institusi yang bersifat neutral dan tidak sepatutnya diheret ke dalam politik jalanan Warisan yang dipenuhi pembohongan dan penipuan," katanya melalui kenyataan pada Jumaat.

Hajiji turut menjelaskan Musa pada asalnya dikatakan tidak mahu mengadakan sambutan rasmi hari lahirnya pada tahun ini kerana tarikh tersebut bertembung dengan Hari Raya Aidilfitri.
Masa juga dikatakan terlalu suntuk untuk merancang sambutan dan ia akan melibatkan kos yang tidak perlu.
Namun begitu, Hajiji berkata perkara itu akhirnya dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet Sabah yang kemudian membuat keputusan untuk mengadakan sambutan secara lebih sederhana pada bulan Jun.
Sementara itu, Shafie sekali lagi menegaskan gesaan Warisan agar kerajaan negeri menyusun semula keutamaannya.

Dia berkata kerajaan seharusnya mendahulukan keperluan rakyat yang sedang berdepan masalah seperti infrastruktur daif, harga makanan yang meningkat, pengangguran, banjir dan kekurangan perkhidmatan asas.
"Parti Warisan sentiasa mendukung prinsip perbelanjaan berhemah dan tadbir urus yang telus.
“Kita sering dengar pemimpin bercakap tentang penjimatan, tetapi apabila melibatkan acara kerajaan, prinsip itu seolah-olah tidak terpakai. Inilah sebabnya kami mengemukakan persoalan tersebut.
"Darell dan Azis pernah berkhidmat dalam kerajaan. Mereka tahu bagaimana sesuatu acara rasmi diuruskan. Soalan yang dikemukakan oleh mereka bukan bersifat peribadi dan jauh sekali tidak beradab. Ia adalah sebahagian daripada amalan demokrasi yang sihat.
"Apabila sesebuah kerajaan mula melabel setiap persoalan sebagai “pembohongan” hanya kerana ia datang daripada pihak pembangkang, itu bukan kepimpinan. Itu tanda keresahan.Itu adalah usaha untuk membisukan suara rakyat,” kata Shafie.