ADS
mk-logo
Berita
Pemimpin AMK gesa pemutihan segera rumah ibadat
Diterbitkan:  Mar 29, 2025 9:42 AM
Dikemaskini: 1:45 AM

Seorang pemimpin Pemuda PKR (AMK) menggesa kerajaan memutihkan rumah ibadat seluruh negara dengan segera, supaya  berdaftar secara sah dengan pihak berkuasa tempatan. 

Gesaan itu dibuat susulan kontroversi pemindahan kuil di Kuala Lumpur dan pembinaan masjid di tapak itu baru-baru ini.

Ketua biro perpaduan nasional pergerakan itu Nanthakumar Poapalan berkata selain mencegah pembinaan rumah ibadat tanpa kebenaran, langkah itu memastikan setiap rumah ibadat beroperasi mengikut peraturan.

“Langkah ini akan membantu untuk mengenal pasti dengan mudah, sekiranya mana-mana rumah ibadat masih beroperasi tanpa kelulusan yang sah,” katanya.

Sementara itu, dalam kenyataan hari ini, Nanthakumar berkata aktiviti keagamaan yang tidak dikawal dan tidak diurus dengan baik berisiko tinggi menimbulkan ketegangan dalam masyarakat majmuk. 

ADS

“Pelaksanaan program sebegini, sudah tentu akan meminimakan sebarang salah faham yang serius antara penganut-penganut agama dalam negara ini dan seterusnya akan membantu memelihara keamanan serta keharmonian antara masyarakat,” katanya.

Justeru itu, katanya, jabatan-jabatan kerajaan yang terlibat harus menunjukkan komitmen yang cukup jitu supaya kesemua rumah ibadat dapat manfaat hasil daripada program ini.

“Segala syarat proses pemutihan harus dipatuhi tanpa sebarang kompromi,” katanya.

Terdahulu gesaan sama dibuat oleh ahli akademik Shafry Salim yang juga pengarah Pusat Islam Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Johor.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS
ADS
ADS