ADS
Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
90 peratus rakyat tak terkesan penyelarasan subsidi RON95, kata PM
Diterbitkan:  Mar 28, 2025 3:38 PM
Dikemaskini: 7:38 AM

Perdana Menteri Anwar Ibrahim menasihatkan rakyat supaya tidak runsing dengan penyasaran subsidi RON95 kerana 90 peratus daripada mereka tidak akan terkesan dengan keputusan itu.

Katanya, mereka akan kekal menikmati harga subsidi RON95 pada kadar RM2.05 seliter.

“Mekanisma secara teperinci kita buat, tapi saya tak fikir rakyat biasa (perlu) runsing.

“Sebab 85 hingga 90 peratus tak terkesan dengan apapun kaedah yang akan diperkenalkan dalam isu rasionalisasi minyak ini,” katanya kepada pemberita selepas solat Jumaat di Masjid Jamek Raja Tun Uda, Shah Alam, hari ini.

ADS

Sehubungan itu, dia menasihatkan orang supaya tidak mendengar fitnah mengenai penyelarasan tersebut.

“Bulan puasa pun dia orang nak bangkitkan (fitnah), umpamanya kita naikkan elektrik.

"Kita kaji bukan 85 peratus, tapi 90 peratus tak dikenakan (penyelarasan subsidi). Yang dikenakan (kepada) siapa? Orang asing dan yang maha kaya sahaja.Kalau pendapatan dia RM50 ribu sebulan, bayarlah sikit.

“Tapi umumnya tak ada yang terkesan. Saya ingat yang depan saya ini, para wartawan pun semua tak terkesan. Melainkan ada wang gelap masuk itu saya tak tahu,” katanya secara berseloroh.

Anwar berkata demikian ketika mengulas mekanisma yang akan diguna pakai bagi penyelarasan subsidi minyak petrol RON95 kelak.

Semalam, Menteri Kewangan II, Amir Hamzah Azizan dilaporkan berkata kerajaan akan mengumumkan mekanisme lengkap bagi melaksanakan penyelarasan subsidi minyak petrol RON95 kepada rakyat selepas separuh pertama tahun ini dengan menggunakan sistem pengenalan diri MyKad dan dua kadar harga.

Amir Hamzah berkata, pembangunan mekanisme pelaksanaan langkah yang disasarkan dapat mengukuhkan kewangan negara sedang diperhalusi dengan kerajaan tidak mahu mengumumkan sesuatu pelaksanaan dasar secara terburu-buru.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS
ADS
ADS