Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Masa untuk PBT bertegas lakukan pemutihan binaan tanpa izin - Abu Hafiz

Pihak berkuasa tempatan (PBT) disaran memanfaatkan penyelesaian yang dicapai kerajaan bersama pihak pengurusan kuil Hindu di Kuala Lumpur untuk mengambil tindakan menyeluruh agar tiada kes seumpama iu berulang.

Ahli akademik, Abu Hafiz Salleh Hudin, berkata pendekatan itu penting kerana sebarang rasa tidak puas hati dan kemarahan yang muncul daripada isu seumpama itu berpotensi menambah keresahan dalam kalangan masyarakat.

Katanya, sangat perlu untuk PBT melaksanakan pemutihan ke atas premis agama yang dibina tanpa kebenaran agar tiada mana-mana pihak bertindak seperti seorang hakim dan mengambil tindakan sendiri.

"Kita tak mahu kekecohan dan kemarahan orang yang tak berpuas hati itu diluahkan tanpa mengikut jalur hukum atau undang-undang.

"Maka, pihak berkuasa – dan akes ini ialah PBT – perlu tunjukkan komitmen untuk selari dengan ucapan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.

“Tanpa tindakan tegas, hal ni akan terus berulang lagi dan lagi, bahkan akan wujud binaan-binaan baru tanpa kebenaran di mana-mana,” katanya kepada Malaysiakini.

Tambah Abu Hafiz, ada banyak pihak memaklumkan mereka ada membuat aduan kepada PBT berkenaan binaan tanpa izin dibangunkan di kawasan tertentu namun ia berakhir tanpa sebarang tindakan.

Bukan rujukan masa depan

Dalam keadaan begitu, kata pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa itu, dia bimbang kalau nanti ada orang awam bertindak sendiri selepas ‘letih’ menunggu tindakan daripada PBT.

“Ketika itu jika perkara yang kita bimbang tersebut berlaku, satu masalah lain pula akan bertambah," katanya.

Kenyataan itu dibuat Abu Hafiz mengiringi berlangsungnya majlis pecah tanah pembinaan Masjid Madani di Jalan Munshi Abdullah di tengah Kuala Lumpur pagi tadi.

Projek itu menjadi perhatian ramai selepas tergendala ekoran keberadaan sebuah kuil Hindu di tapak yang sudah dimiliki syarikat Jakel Tradings Sdn Bhd (Jakel Tradings).

Bagaimanapun selepas 11 tahun berlarutan kuil berkenaan semalam bersetuju untuk berpindah ke lokasi berhampiran.

Pihak kuil dan kerajaan menjelaskan langkah tersebut dibuat apabila semua pihak yang berkaitan mencapai persetujuan dalam rundingan yang dijalankan baru-baru ini.

Pada 25 Mac lalu juga Anwar memberitahu kuil Dewi Sri Pathrakaliamman itu didirikan di atas sebidang tanah tanpa kebenaran pemiliknya dan perlu dipindahkan.

Perdana menteri juga menegaskan kuil itu bukanlah rumah ibadat pertama yang telah dipindahkan atau dirobohkan kerana melanggar undang-undang.

Abu Hafiz berkata, semua PBT perlu bertegas memastikan insiden binaan tanpa izin dibiarkan tanpa kekangan kerana bimbang ada pihak akan menjadikan penyelesaian dicapai di antara Jakel dan kuil Dewi Sri Pathrakaliamman sebagai duluan atau rujukan.

"Dalam ucapan di Pusat Latihan Polis baru-baru ini, perdana menteri telah sebutkan Malaysia adalah negara hukum.

“Justeru tidak mungkin ada binaan boleh dibuat atas tanah tanpa keizinan pihak berkuasa atau pemilik tanah.

"Penyelesaian atas tanah milik Jakel adalah penyelesaian khusus dan perlu ditegaskan seperti dinyatakan Menteri Wilayah Persekutuan (Dr Zaliha Mustafa) ia bukan penyelesaian rujukan," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS