Kesihatan Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Jamal Md Yunos semakin merosot selepas sel kanser yang sebelum ini berada di paru-paru kini merebak ke otak.
Jamal kini menerima rawatan di sebuah hospital swasta di Ampang.
Ketika dihubungi Berita Harian Jamal mengesahkan perkara itu dan memaklumkan dia telah dimasukkan ke hospital sejak Sabtu lalu.
"Sebelum itu, saya mengalami kesakitan di leher dan kepala ketika memasak di rumah.
"Selepas menjalani ujian pengimejan resonans magnet (MRI), doktor mendapati sel kanser yang sebelum ini di bahagian paru-paru kini merebak ke bahagian otak sebesar tiga sentimeter (cm)," katanya.
Dia turut memohon doa daripada orang ramai agar diberikan kesembuhan.
Sebelum ini, media melaporkan Jamal beberapa kali dimasukkan ke hospital bagi menerima rawatan akibat kanser paru-paru tahap empat.
Kesihatannya mula merosot sejak September 2022, menyebabkan dia semakin lemah dan mengalami penurunan berat badan.