Rangkaian Rawang Tolak Insinerator (RTI) mempersoalkan tindakan kerajaan negeri Selangor yang menghalang media daripada menghadiri sesi pendengaran Draf Rancangan Struktur Negeri Selangor 2035.
Jurucakap kumpulan itu Abdul Hanan Abd Mokti berkata wartawan perlu turut serta dalam sesi pendengaran awam hari ini kerana draf rancangan terbabit melibatkan soal kepentingan awam.
"(Semasa pendengaran), kami merancang untuk bertanya mengapa media tidak dibenarkan (untuk membuat liputan)," kata Hanan kepada Malaysiakini sebelum sesi pendengaran bermula di Pusat Konvensyen Shah Alam, hari ini.
Mengulas lanjut, Abdul Hanan berkata walaupun RTI dan kerajaan akan dapat memberikan penjelasan berhubung perkara tersebut sebaik saja sesi pendengaran selesai, namun kehadiran media dalam sesi terbabit penting bagi memastikan liputan yang saksama dan adil.
"(RTI) akan mengeluarkan kenyataan media kami sendiri selepas acara itu, tetapi kerajaan negeri juga akan mengeluarkan kenyataan yang menceritakan tentang perkara itu."
Difahamkan, orang ramai yang menghadiri perbicaraan hari ini dikehendaki menunjukkan bukti jemputan rasmi, dipercayai dihantar pegawai melalui e-mel.
Media juga dihalang daripada menghadiri sesi pendengaran sebelum ini pada 10 Feb, yang ditangguhkan ke hari ini selepas RTI membangkitkan kebimbangan konflik kepentingan membabitkan exco negeri yang mempengerusikan mesyuarat terbabit.
Pada 10 Februari lalu, RTI telah meminta Ng Suee Lim menarik diri daripada mempengerusikan sesi pendengaran terbabit kerana Exco Pembangunan Kampung Baharu dan Pelancongan itu turut berperanan sebagai pengerusi KDEB Waste Management (KDEBWM) selaku syarikat yang bakal melaksanakan projek Loji Pemprosesan Sisa Pepejal kepada Tenaga (WTE) di Batu Arang.
Menteri Besar, Amirudin Shari sebelum ini memaklumkan bahawa kerajaan negeri belum memperoleh Kebenaran Merancang (KM) bagi pembangunan insinerator berkenaan.
Amirudin menegaskan perancangan projek itu perlu dilakukan secara teliti bagi memastikan situasi menang-menang kepada semua pihak.
Malaysiakini telah menghubungi Exco Perumahan dan Kebudayaan, Borhan Aman Shah, yang mempengerusikan sesi pendengaran hari ini bagi mendapatkan penjelasan mengenai sekatan terhadap media.
Sementara itu, Hanan berkata RTI akan diwakili lapan jurucakap pada sesi pendengaran hari ini.
Mereka dijangka akan membangkitkan isu berkaitan insinerator yang dicadangkan, seperti kekurangan ketelusan berhubung proses kelulusan projek, kesan kepada alam sekitar dan kesihatan serta faktor ekonomi.