ADS
Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Dalam pilihan raya negeri 2023, menteri besar Kelantan ketika itu, Ahmad Yakob, berucap:

“Insya-Allah dengan sokongan anak perantau, ia akan memberi kekuatan kepada petugas untuk terus gigih mengekalkan legasi pemerintahan ulama di Kelantan.

“Pulanglah dengan nawaitu yang ikhlas, niat murni demi Islam dan Insya-Allah perjuangan kita diberkati serta mendapat reda Allah dunia akhirat.”

Jika diperhalusi, ucapan ini membawa maksud yang lebih mendalam daripada sekadar seruan untuk mengundi. 

Ia mencerminkan kebergantungan PAS terhadap sokongan pengundi luar, berbanding mendapatkan undi secara organik berdasarkan kemampuan mentadbir dan kepimpinan berkesan. 

ADS

Sokongan yang sebenar, yang berterusan dan mampan, seharusnya datang daripada dasar dan prestasi yang berkesan di dalam negeri itu sendiri. 

Sebagai contoh, Kelantan selaku negeri yang menerima peruntukan infrastruktur tertinggi pada 2024, kepimpinan di Kelantan perlu membangunkan Kelantan sebaiknya.

Jikalau pembinaan stesen terminal bas pun gagal diurus dengan efektif dan menjadi polemik, apakah lagi yang boleh dijadikan sandaran untuk menilai prestasi PAS?

Apa yang terjadi baru-baru ini, tindakan PAS Selangor yang menggesa penyokong mereka yang bermastautin di negeri itu untuk mendaftar sebagai pengundi dalam pilihan raya umum (PRU) yang akan datang membuka ruang untuk pertanyaan lebih lanjut. 

Apakah strategi di Kelantan akan turut sama digunakan di Selangor? 

Ini bukan hanya soal strategi ‘mi segera’ untuk memperluas sokongan, malah ia turut menonjolkan PAS seolah-olah  bergantung ehsan kepada segmen pengundi yang sama di Pantai Timur. 

Langkah ini menggambarkan prestasi kepimpinan PAS Selangor yang gagal menarik sokongan rakyat Selangor keseluruhannya secara organik. 

Pertanyaannya, mengapakah harus ada kebergantungan kepada “undian luar” jika kepimpinan, prestasi dan dasar yang ada mampu menarik perhatian keseluruhan rakyat di Selangor? 

Politik yang stabil dan berkesan seharusnya dibina atas dasar kepercayaan yang tercipta melalui prestasi. PKR tidak pernah sesekali menggunakan strategi ‘mengimport’ atau ‘mengeksport’ pengundi dari mana-mana negeri di negara ini. 

Apa yang difokuskan ialah soal prestasi, kepimpinan dan dasar yang berkesan untuk memastikan sebuah negeri maju dan berdaya saing. 

Fokus jadi pembangkang berwibawa

ADS

Ada baiknya jika PAS Selangor perlu lebih fokus menjadi pembangkang yang berwibawa dan bersaing secara sihat melalui idea dan pendekatan politik yang lebih substantif. 

Namun, tidak mudah untuk PAS Selangor bersaing secara kompetitif terhadap kepimpinan sedia ada berdasarkan rekod-rekod keberhasilan sedia ada. 

Bawah kepimpinan Menteri Besar Selangor Amirudin Shari, kerajaan Selangor sentiasa memastikan dasar-dasar kebajikan, pembangunan ekonomi, kesejahteraan sosial, pembangunan modal insan dan kesejahteraan Islam diperkasa sebaiknya. 

Kepimpinan yang berkesan ini memberi manfaat kepada seluruh rakyat, tanpa mengira latar belakang politik. Tidak ada sebab mengapa rakyat Selangor (sama ada pemastautin atau perantau), yang telah mendapat manfaat daripada pentadbirannya, perlu mencari alternatif lain. 

Pembangunan yang pesat dan kestabilan yang dinikmati di bawah kepimpinan kini akan dinilai oleh seluruh rakyat Selangor yang saya yakin mampu memilih secara rasional berbanding berfokus pada sentimen kepartian semata-mata.

Prestasi kepimpinan adalah asas yang kukuh untuk mendapatkan pengundi yang organik, bukan hasil pujuk rayu dengan mengharapkan ehsan sentimen semata-mata. 

Dengan prestasi yang terbukti dan meyakinkan, pengundi di Selangor—tanpa mengira dari mana pun asal mereka—akan cenderung memilih pemimpin yang memiliki kewibawaan serta rekod kepimpinan yang teruji, demi memastikan kesejahteraan dan kelangsungan hidup yang lebih baik di negeri ini. 

Malah, boleh dikatakan, tindakan PAS ini turut mempunyai risiko makan tuan. 

Dekan Pusat Pengajian Siswazah Ghazali Shafie, Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Dr Rusdi Omar, dalam kenyataannya menyebut: 

“PAS harus ingat langkah memindahkan pengundi tidak memberi jaminan mereka akan mampu merampas Selangor pada pilihan raya akan datang, langkah itu sangat berisiko tinggi kepada kerajaan negeri milik mereka di Kelantan, Terengganu dan Kedah.” 

Pandangan ini ada meritnya kerana realiti politik menunjukkan bahawa lain padang, lain belalang. Hakikatnya, pengundi di Selangor dan negeri-negeri yang ditadbir oleh PAS mempunyai perspektif politik yang berbeza. 

Hari ini, pengundi semakin matang dalam membuat keputusan; mereka cenderung menilai berdasarkan prestasi calon, kredibiliti kepimpinan, serta hasil kerja yang nyata, bukan lagi sekadar mengikut sentimen kepartian dan faktor emosi. 

Politik yang matang dan berkesan adalah politik yang berfokus pada prestasi dan keberkesanan kepimpinan. 

PAS perlu lebih menumpukan penyelesaian masalah di negeri sendiri terlebih dahulu sebelum terlalu bercita-cita tinggi untuk menguasai negeri-negeri lain. 

Jangan sampai yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran.


ASHRAF HADI ialah Ketua Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama Angkatan Muda Keadilan (AMK).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS
ADS
ADS