ADS
Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Polis siasat kes jurujual Mixue dimaki
Diterbitkan:  Mar 26, 2025 8:36 PM
Dikemaskini: 12:36 PM

Polis sedang menyiasat kes seorang jurujual dari rangkaian minuman Mixue yang dikatakan dimaki hamun oleh seorang pelanggan.

Ketua Polis Daerah Shah Alam Mohd Iqbal Ibrahim berkata baru-baru ini seorang jurujual wanita telah dimaki hamun oleh seorang pelanggan lelaki di kedai Mixue di Central i-City, Shah Alam, Selangor.

Suspek didakwa berselisih faham dengan mangsa selepas dia meminta syiling 50 sen semasa pembayarannya kerana tidak mempunyai cukup syiling dalam mesin tunai.

Suspek dikatakan menyindirnya, menyebabkan dia menutup mesin tunai dengan kuat. Suspek kemudian didakwa menggunakan kata-kata kesat dan menghina terhadapnya.

ADS

Kejadian tersebut telah dileraikan oleh rakan setugas mangsa dan lelaki berkenaan kemudiannya terus beredar setelah urusan pembelian selesai

“Hasil siasatan lanjut pihak polis mendapati mangsa telah menghantar video rakaman CCTV (kamera litar tertutup) kedai terbabit kepada ahli keluarganya sehingga menyebabkan individu tidak bertanggungjawab menularkan rakaman tersebut di laman sosial TikTok," kata Iqbal dalam satu kenyataan.

Iqbal berkata, mangsa membuat laporan polis semalam pada 8.42 malam berhubung kejadian itu.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 504 dan 509 Kanun Keseksaan.

Seksyen 504 menghukum penghinaan yang disengajakan dengan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali. Seksyen 509 menjenayahkan penggunaan perkataan atau isyarat untuk menghina kehormatan seseorang dengan hukuman penjara sehingga lima tahun, denda, atau kedua-duanya sekali.

Iqbal berkata, penyebaran video itu juga disiasat mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955, yang menghukum tingkah laku mengancam dengan denda tidak lebih RM100.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS
ADS
ADS