ADS
Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Kerajaan mengumumkan potongan tol 50 peratus daripada kadar tol biasa sempena Hari Raya Aidilfitri ini.

Menteri Kerja Raya Alexander Nanta Linggi berkata implikasi kewangan yang ditanggung kerajaan bagi membayar balik pampasan kepada syarikat konsesi tol yang terlibat dianggarkan berjumlah RM19.69 juta.

“Kerajaan Madani dalam mesyuarat kabinet hari ini bersetuju memberikan potongan tol 50 peratus bermula 12.01 tengah malam 28 Mac (Jumaat), dan berakhir pada 11.59 malam 29 Mac (Sabtu).

“Kita beri dua hari (diskaun) supaya pengguna tidak tergesa-gesa dan boleh merancang sebaiknya perjalanan mereka,” katanya. 

Nanta berkata pada sidang media selepas melakukan tinjauan kerja di sebuah syarikat konsesi penyelenggaraan Jalan Persekutuan di Ayer Keroh di Melaka hari ini. 

ADS

Dia berkata potongan tol 50 peratus itu khusus bagi kenderaan persendirian (Kelas 1) di semua plaza tol kecuali plaza tol di sempadan negara iaitu Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) dan Plaza Tol Tanjung Kupang Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (Linkedua). 

Katanya, pemberian diskaun tol itu adalah kesinambungan kepada bantuan tol musim perayaan yang diberikan kerajaan bagi keempat-empat musim perayaan utama di semenanjung sejak tahun 2023. 

“Ia adalah selaras dengan teras utama kerajaan Madani iaitu Kesejahteraan dan Ihsan dalam membantu meringankan kos sara hidup rakyat.

ADS

“Justeru semua pengguna lebuh raya diharapkan dapat memanfaatkan diskaun tol ini dengan sebaiknya dan merancang perjalanan dengan sewajarnya bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas semasa cuti panjang ini,” katanya.

Nanta juga menasihatkan pengguna agar mengikut jadual waktu perjalanan oleh syarikat konsesi lebuh raya, memastikan baki eWallet dan Kad Touch & Go mencukupi serta menggunakan pautan paparan kamera litar tertutup (CCTV) Lembaga Lebuh Raya Malaysia. 

-Bernama



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS
ADS
ADS