Kerajaan Madani melalui Kementerian Komunikasi hari ini mengumumkan pemberian insentif Rebat Rahmah kepada semua pengguna perkhidmatan telekomunikasi warga Malaysia pada hari pertama Aidilfitri.
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil yang juga jurucakap kerajaan berkata pemberian insentif itu berbentuk tambahan kuota data minimum 5GB untuk pengguna prabayar dan pascabayar.
Katanya tambahan kuota data itu sah bagi tempoh minimum 24 jam, tertakluk kepada terma dan syarat penawaran syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi yang terlibat.
“Usaha Kementerian Komunikasi dengan kerjasama strategik syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi ini sejajar dengan hasrat kerajaan Madani yang menitikberatkan nilai ihsan kepada rakyat.
“… (Ia) di samping mengeratkan silaturahim menerusi komunikasi dalam talian sempena sambutan Aidilfitri,” katanya pada sidang media mingguan di Putrajaya hari ini.
Syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi yang terlibat adalah CelcomDigi, Maxis, U Mobile, TM Tech, YTL Communications, Pavo Comms, Tune Talk, redONE, REDtone dan XOX Com.
Ditanya jumlah kos bagi pelaksanaan insentif berkenaan, Fahmi berkata, ia ditanggung sepenuhnya oleh semua penyedia perkhidmatan telekomunikasi terbabit.
“Tak… subsidi dan ia (insentif) bukan ditanggung kerajaan,” katanya sambil menambah jumlah akaun telekomunikasi yang berdaftar di Malaysia ialah sekitar 45 juta.
Maklumat lanjut mengenai insentif Rebat Rahmah Aidilfitri itu, katanya, akan diumumkan oleh syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi berkaitan.
Senarai soalan lazim (FAQ) berkenaan insentif Rebat Rahmah tersebut boleh dirujuk di laman sesawang Kementerian Komunikasi menerusi pautan https://www.komunikasi.gov.my/en/awam/faq.
- Bernama