Umno Sabah hari ini mencabar Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Armizan Mohd Ali, untuk menjelaskan dua gambar tular yang didakwa menunjukkan dia bertemu dengan wakil sebuah syarikat perlombongan Indonesia pada 2023.
Pengarah Jabatan Pilihan Raya Umno Sabah, Jeffery Nor Mohamed, mendakwa ramai rakyat Sabah tertanya-tanya sama ada memang Armizan yang ada dalam gambar tersebut atau sebaliknya orang lain.
Hal itu kerana, kata Jeffery, sebelum ini Ahli Parlimen Papar berkenaan bertegas menafikan dia terlibat atau terkait dengan skandal rasuah yang didakwa berlaku melibatkan sejumlah ahli politik di Sabah.
“Ramai rakyat Sabah tertanya-tanya betulkah muka Armizan yang dipaparkan dalam dua keping gambar yang menular itu.
“Oleh yang demikian, saya berharap saudara Armizan memberi penjelasan adakah beliau hadir ke Ibu Pejabat Bayan Resources di Jakarta, Indonesia pada tarikh itu?
“Apa tujuan beliau berjumpa dengan billionaire tersebut?” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bayan Resources ialah sebuah konglomerat perlombongan Indonesia yang menghasilkan arang batu. Menurut laman web syarikat berkenaan, ia terlibat dalam kegiatan empat perlombongan terbuka di Kalimantan Timur dan Selatan Indonesia.
Malaysiakini telah menghubungi Armizan dan pembantunya untuk mendapatkan komen berkenaan dakwaan Umno Sabah itu.
Atas kapasiti apa
Semalam Armizan dilaporkan telah menyangkal dakwaan dalam mesej tular di media sosial yang mengaitkannya dengan skandal rasuah yang didakwa melibatkan projek cari gali mineral di Sabah.
Sambil menegaskan dia akan membuat laporan polis terhadap dakwaan tersebut, Timbalan Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS) itu berkata salah seorang individu yang menyebarkan mesej itu telah dikenal pasti sebagai bekas wakil rakyat.
Armizan bagaimanapun tidak menamakan bekas wakil rakyat yang dimaksudkannya.
Carian di Facebook mendapati beberapa posting memetik "Datuk Z" yang mendakwa Armizan terlibat dalam rundingan antara firma Indonesia dan Sabah Mineral Management Sdn Bhd (SMM) berhubung lesen carigali mineral di negeri berkenaan.
Siaran itu turut memaparkan gambar lawatan SMM dan Armizan ke pejabat syarikat berkenaan di Jakarta pada Mei 2023.
Kata Jeffery pada tarikh tersebut Armizan berkhidmat sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri bagi hal ehwal Sabah, Sarawak dan tugas-tugas khas.
Justeru, katanya, ada persoalan lain yang perlu dijelaskan oleh ahli politik berkenaan.
“Adakah beliau mengisytiharkan perjalanan tersebut kepada Jabatan Perdana Menteri atau Ketua Setiausaha Negara?
“Masyarakat Sabah berharap Armizan dapat memberi pencerahan berhubung perkara ini: berdasarkan kapasiti apa dan bidang kuasa apa beliau menghadiri mesyuarat tersebut?
“Saya percaya penjelasan daripada Armizan penting bagi membela dirinya sekali gus dapat menyelesaikan kemelut ini,” katanya.