Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Kelantan Hilmi Abdullah hari ini menjelaskan kerajaan negeri mempunyai punca kuasa untuk mewajibkan operasi premis perniagaan ditutup pada 1 Syawal ini.
Menurutnya, punca kuasa itu berada di bawah undang-undang kecil, pelesenan, perniagaan dan perindustrian.
Jelas Hilmi, pihak berkuasa tempatan (PBT) boleh mengarahkan mana-mana aktiviti perdagangan, perniagaan atau perindustrian untuk tidak dibenarkan berjalan pada suatu tempat atau premis berlesen melainkan pada waktu yang ditetapkan oleh majlis.
Dia juga menjelaskan arahan tersebut hanya dikuatkuasakan pada hari raya pertama dan sepatutnya tidak timbul sebarang isu.
“Kalau nak persoalkan hari raya kedua, ketiga (pun ditutup) tak apalah. Ini hari raya pertama pun dipersoalkan.
“Lainlah kalau kita tutup operasi sampai raya ketiga, keempat,” katanya.
Dia yang juga Adun Guchil memberitahu, arahan tersebut dibuat bagi membolehkan pekerja Muslim meraikan Aidilfitri sekali gus mendapat hak mereka mengikut Akta Hari Kelepasan Am 1951.
Ada tak puas hati
Katanya mengikut peraturan seseorang pekerja berhak mendapat cuti dua hari sempena Aidilfitri namun rundingan boleh dilakukan di antara kedua-dua pihak jika mereka diperlukan bertugas.
“Kalau peniaga (majikan) runding dengan pekerja, mereka kena beri gaji sekali ganda, tetapi pekerja hilang hak sebab majikan suruh bekerja.
“Sekarang ini kita kembalikan hak kepada pekerja,” katanya kepada media di Kota Bharu, hari ini.
Hilmi berkata demikian sebagai mengulas kenyataan bekas menteri undang-undang, Zaid Ibrahim yang memberi amaran bahawa kerajaan Kelantan pimpinan PAS mungkin berisiko disaman berhubung keputusan mereka mengarahkan semua premis perniagaan ditutup pada 1 Syawal.
Sebelum itu Hilmi dilaporkan berkata, premis perniagaan termasuk pasar raya, restoran makanan segera dan kedai serbaneka di Kelantan perlu menutup operasi sempena sambutan hari raya.
Keputusan itu mengundang rasa tidak puas hati sesetengah pihak, dengan Adun Kota Lama Dr Hafidzah Mustakim mempersoalkan kewajaran keputusan tersebut.
Menurutnya, kerajaan negeri pimpinan PAS perlu memberikan penjelasan agar para peniaga memahami rasional di sebalik peraturan baru tersebut.
Adun dari Amanah itu turut menimbulkan persoalan mengenai operasi perniagaan kritikal seperti klinik dan stesen minyak yang juga dikatakan perlu ditutup.
Dalam perkembangan itu Hilmi ketika dihubungi Malaysiakini menjelaskan arahan penutupan premis perniagaan pada 1 Syawal itu melibatkan empat jenis perniagaan.
Katanya, ia melibatkan pusat membeli-belah, pasar raya, kedai serbaneka dan kedai makanan segera.
“Penduduk boleh rujuk kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) masing-masing.
“Amalan biasa (sebelum ini) hypermarket (pasar raya besar), pasar raya, kedai serbaneka dan kedai makanan segera saja (diwajibkan tutup).
“Bagi jenis perniagaan lain bergantung pada budi bicara peniaga,” jelasnya.