ADS
mk-logo
Berita
ULASAN | Pemutihan rumah ibadat menyeluruh wajib dilaksanakan

Beberapa minggu kebelakangan ini, negara diuji dengan isu tapak Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman di Jalan Masjid India hingga menimbulkan perbalahan yang membabitkan unsur perkauman dan agama. 

Isu tapak rumah ibadat ini bukanlah perkara baharu, ia telah banyak kali berlaku dan berulang-ulang. 

Setiap kali isu ini timbul, ia begitu mudah mencetus ketegangan dalam kalangan rakyat kerana konflik ini melibatkan elemen keagamaan dan perkauman yang sangat sensitif bagi negara berbilang kaum dan agama seperti di Malaysia. 

Oleh itu, sudah tiba masanya, kerajaan melalui pihak berkuasa tempatan (PBT) mengambil langkah yang lebih tegas dan menyeluruh untuk menjalankan pemutihan terhadap pembinaan rumah ibadat, bagi mengelakkan pertelingkahan dalam masyarakat serta perbalahan sia-sia yang hanya merosakkan keharmonian kaum di negara ini.

Pembinaan rumah ibadat di Malaysia adalah satu aspek penting dalam menjaga kebebasan beragama yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. 

ADS

Islam sebagai agama rasmi negara namun pada masa yang sama negara ini mengiktiraf pelbagai agama lain untuk mendirikan tempat ibadat mereka. Namun, isu pembinaan rumah ibadat tanpa kebenaran yang sah semakin membimbangkan dan perlu dinoktahkan.

Hak untuk membina rumah ibadat bagi setiap agama dijamin oleh Perkara 11(1) Perlembagaan Persekutuan. 

Selain perlembagaan, beberapa garis panduan yang telah sedia ada wujud juga perlu dirujuk bagi memastikan pembinaan rumah ibadat ini mematuhi peraturan dan syarat yang ditetapkan antaranya Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976, Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974, Enakmen Pentadbiran Undang-Undang Islam Negeri serta Garis Panduan Perancangan (GPP) Rumah Ibadat Islam 2023 yang dikeluarkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

ADS

Dalam beberapa kes, rumah ibadat dibina tanpa mendapatkan kebenaran dari PBT ataupun tanpa mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan. 

Ini boleh menyebabkan masalah besar, terutamanya jika rumah ibadat tersebut dibina di atas tanah yang bukan milik mereka atau tanah yang tidak diwartakan untuk kegunaan tersebut. 

Keadaan ini boleh mencetuskan pertikaian dengan pihak berkuasa, mencabar status pemilikan tanah, dan bahkan boleh menyebabkan gangguan sosial antara pelbagai komuniti.

Selain itu, rumah ibadat yang dibina tanpa kebenaran juga sering kali tidak mematuhi peraturan keselamatan yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa tempatan, seperti keperluan untuk menyediakan kemudahan kebakaran, kapasiti yang selamat untuk menampung jemaah, dan kepatuhan terhadap peraturan bangunan yang lain. 

Rumah ibadat yang tidak sah ini juga tidak tercatat dalam rekod rasmi, menyebabkan ketidakpastian mengenai status perundangan dan pengawasan terhadapnya.

Setiap pembinaan rumah ibadat di Malaysia memerlukan pematuhan terhadap beberapa syarat yang ditetapkan oleh pihak PBT dan pihak berkuasa agama, khususnya untuk agama Islam. Syarat-syarat ini adalah penting untuk memastikan keselamatan, keselesaan dan kesahihan rumah ibadat yang dibina.

Setiap pembinaan rumah ibadat perlu mendapatkan kebenaran bertulis daripada PBT terlebih dahulu. 

PBT akan melakukan pemeriksaan tapak dan menilai permohonan berdasarkan pelbagai faktor termasuk kepadatan penduduk, zon penggunaan tanah dan kelulusan pelan bangunan. 

ADS

Tanpa kebenaran rasmi, pembinaan rumah ibadat adalah dianggap haram dan boleh diambil tindakan.

Rumah ibadat yang dibina mesti mematuhi pelan bangunan yang sah dan memenuhi keperluan keselamatan. Keperluan ini termasuklah penyediaan laluan keluar kecemasan, sistem pemadam kebakaran, pengudaraan yang mencukupi, dan kapasiti bangunan yang sesuai dengan jumlah jemaah. 

Pelan bangunan ini perlu disemak dan diluluskan oleh pihak berkuasa yang berkenaan.

Sebelum sesuatu rumah ibadat dibina, ia mesti berada di zon penggunaan tanah yang dibenarkan untuk kegunaan tersebut. 

Di Malaysia, tanah yang digunakan untuk rumah ibadat mesti diwartakan untuk tujuan agama atau kebudayaan. Sebarang pembinaan yang melanggar zon ini boleh menyebabkan pembinaan tersebut dianggap haram dan tidak sah.

Untuk rumah ibadat agama Islam, Majlis atau Jabatan Agama Islam Negeri perlu memberikan kebenaran dan mengawasi pembinaan rumah ibadat tersebut. 

Begitu juga dengan rumah ibadat agama lain, perlu ada kebenaran dari pihak berwajib masing-masing yang mengawasi kegiatan keagamaan.

Bagi komuniti bukan Islam, pembinaan rumah ibadat juga perlu mendapat kelulusan daripada PBT dan mengikut undang-undang sedia ada, termasuk undang-undang tentang keselamatan, kesihatan dan perlindungan alam sekitar. 

Penguatkuasaan ini perlu dilakukan secara telus dan tegas.

Dengan mengambil kira pelbagai masalah yang timbul akibat pembinaan rumah ibadat secara haram, adalah sangat penting bagi pihak berkuasa tempatan untuk melakukan pemutihan rumah ibadat secara menyeluruh di seluruh negara. 

Pemutihan ini bukan sahaja memastikan rumah ibadat mematuhi undang-undang yang ditetapkan, tetapi juga melindungi hak orang ramai yang tinggal di kawasan sekitarnya dan menjaga keharmonian antara pelbagai komuniti.

Tindakan pemutihan ini melibatkan beberapa langkah penting termasuk:

1. Pendaftaran Semua Rumah Ibadat - PBT perlu memastikan setiap rumah ibadat yang beroperasi di negara ini didaftarkan dengan betul. Semua rumah ibadat, baik yang baru dibina mahupun yang sedia ada, haruslah disahkan statusnya dan dipatuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh PBT.

2. Pemeriksaan dan Penilaian Semula - PBT perlu menjalankan pemeriksaan berkala terhadap rumah ibadat yang telah dibina untuk memastikan ia memenuhi syarat keselamatan dan undang-undang. Rumah ibadat yang tidak mematuhi syarat ini perlu diarah untuk membuat pembaikan atau, jika perlu, ditutup sehingga memenuhi keperluan yang ditetapkan.

3. Tindakan Undang-Undang - Dalam kes yang mana rumah ibadat dibina secara haram tanpa kebenaran, tindakan undang-undang perlu diambil. Ini termasuk pengeluaran perintah pembongkaran bagi rumah ibadat yang dibina tanpa izin dan pematuhan terhadap syarat-syarat yang ditetapkan.

Bagi mengelakkan isu rumah ibadat haram ini dari terus berulang, PBT perlu mengambil tindakan proaktif dan menjadikannya KPI utama yang perlu dicapai bagi memastikan bahawa semua rumah ibadat dibina secara sah, mematuhi peraturan dan selamat untuk digunakan.

Kebebasan beragama tidak sesekali mengizinkan sebarang pencerobohan hak orang lain secara haram. Rumah ibadat sebagai simbol kesucian agama perlu didirikan secara sah dan terhormat. 

Pemutihan rumah ibadat adalah langkah penting untuk memastikan keharmonian sosial, mengelakkan masalah perundangan dan memastikan bahawa semua pembinaan ini mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh PBT. 

Dengan melaksanakan pemutihan ini, Malaysia akan dapat terus menjadi negara yang menghormati kebebasan beragama, sambil menjaga keselamatan dan kesejahteraan seluruh masyarakat.


SHAFRY SALIM ialah pengarah Pusat Islam Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS
ADS
ADS