Biro Kawalan Narkotik Brunei menahan 20 individu berusia antara 18 hingga 52 tahun dalam satu serbuan di kawasan perumahan Bukit Beruang, Daerah Tutong, menurut kenyataan yang dikeluarkan pada Selasa.
Dalam operasi itu, pihak berkuasa merampas 19.33 gram dadah jenis syabu (methamphetamine) bersama peralatan menghisap dadah, sebuah telefon bimbit, alat penimbang serta sepasang gunting, lapor Xinhua.
Menurut Biro Kawalan Narkotik, serbuan itu adalah susulan daripada operasi serupa yang dijalankan pada Jun dan Julai 2024.
Kawasan perumahan Bukit Beruang dikenal pasti sebagai antara lokasi “panas” bagi aktiviti pengedaran dadah di daerah itu dan ia merupakan sebahagian daripada usaha berterusan membanteras jenayah narkotik di kawasan berkenaan.
Pihak berkuasa menegaskan komitmen mereka untuk terus memperhebat usaha membanteras penyalahgunaan dadah yang mengancam keharmonian serta kesejahteraan masyarakat, sambil menegaskan bahawa negara ini mempunyai dasar sifar toleransi terhadap jenayah narkotik.
- Bernama-Xinhua