Kontroversi berkaitan Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman menyerlahkan keperluan untuk mewujudkan satu penyelesaian kekal bagi mengelakkan insiden serupa berulang, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), M Kulasegaran.
Bercakap dalam sidang media di kuil tersebut di Kuala Lumpur malam ini, Kulasegaran berkata situasi “berisiko” melibatkan kaum dan agama seperti ini mesti dielakkan pada masa akan datang.
“Kita perlu elakkan insiden sebegini daripada berlaku di negara ini. Selalunya bila situasi seperti ini berlaku, kita berada di kawasan yang sangat berisiko kerana ia melibatkan kaum.
“Diharapkan satu penyelesaian muktamad dapat dicapai, di mana kita akan menemui jalan penyelesaian akhir,” kata Kulasegaran yang juga ahli parlimen Ipoh Barat DAP.
Terdahulu hari ini, Timbalan Presiden MIC M Saravanan memberitahu Malaysiakini bahawa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bersetuju untuk memindahkan kuil itu ke sebidang tanah baru seluas 4,000 kaki persegi, kira-kira 50 meter dari lokasi asalnya di Jalan Munshi Abdullah, berhampiran Jalan Masjid India.

Saravanan (gambar atas) berkata tanah itu akan digazetkan secara kekal untuk kuil tersebut manakala struktur sedia ada yang dibina sejak tahun 1893 dijangka akan dirobohkan untuk memberi laluan kepada pembinaan sebuah masjid.
Dia berkata kuil itu akan terus beroperasi sehingga kuil baru siap dibina sepenuhnya.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim sebelum ini berkata kuil tersebut dibina tanpa kebenaran dan perlu ditangani mengikut undang-undang, sambil memastikan pemindahan dilakukan secara hormat.
Salah faham awam status tanah kuil
Dalam pada itu, Kulasegaran menekankan terdapat salah faham dalam kalangan orang awam mengenai kuil-kuil, terutamanya yang tidak mempunyai geran tanah kerana ia dibina di atas tanah estet.
“Ramai orang tidak faham mengapa kuil-kuil di estet dan kuil seperti (Dewi Sri Pathrakaliamman) tiada geran tanah.
“(Kuil-kuil seperti ini) telah lama wujud, tetapi apabila tanah estet dijual, ia menjadi masalah kerana kuil tidak mempunyai geran dan tanah tersebut tidak dikhaskan untuk mereka,” katanya.
Jelasnya kuil Dewi Sri Pathrakaliamman berdepan situasi yang serupa dan memaklumkan jawatankuasa kuil memberitahunya lebih 200 orang hadir setiap hari untuk menunaikan hajat dan berdoa di kuil tersebut.
Presiden Majlis Kuil Hindu dan Persatuan Hindu Malaysia (Mahima), N Sivakumar sebelum ini memberitahu Malaysiakini kuil-kuil lama dan besar telah dibina oleh pekerja estet semasa zaman pentadbiran British dahulu.
Jelasnya pada ketika itu, tidak jelas kepada siapa para penganut perlu memohon untuk membina rumah ibadat.
Sivakumar turut berkata Mahima kini sedang merancang satu pelan induk pembinaan rumah ibadat Hindu, yang akan merangkumi pelbagai isu seperti cara mendaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS), kaedah permohonan dana, lokasi sesuai dan sebagainya.
Cadangan tubuh jk khas bukan Islam
Dalam isu berkaitan, Kulasegaran mencadangkan agar kerajaan menubuhkan satu jawatankuasa khas bukan Islam untuk mengkaji keadaan kuil-kuil di seluruh negara.
Menurutnya, usaha ini akan membolehkan satu penyelesaian holistik dirangka untuk semua kuil di Malaysia.
Pada Februari lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata Putrajaya telah menolak cadangan untuk mewujudkan jawatan menteri khas untuk hal ehwal agama bagi bukan Islam.
Dia berkata kepelbagaian agama di negara ini telah cukup diurus melalui kehadiran Menteri Hal Ehwal Agama, Menteri Perpaduan Negara, serta Jawatankuasa Keharmonian yang mewakili semua kumpulan etnik dan agama di Malaysia.
Pengerusi DAP, Gobind Singh Deo yang turut hadir sidang media malam ini menyambut baik perkembangan terkini berkaitan Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman.
Gobind memaklumkan bahawa dia telah membantu jawatankuasa kuil tersebut selepas mereka menghubunginya kira-kira sebulan setengah yang lalu bagi menyuarakan kebimbangan tentang status kuil itu.
Dia turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam mencapai penyelesaian isu ini.
Apabila ditanya mengenai nilai tanah 4,000 kaki persegi yang ditawarkan untuk kuil berkenaan, Gobind berkata dia tidak mengetahui butiran tersebut.
Untuk makluman, pada tahun 2014, DBKL menjual tanah yang menempatkan kuil tersebut kepada pemilik semasa — syarikat tekstil, Kumpulan Jakel.
Baru-baru ini, Jakel mengumumkan rancangannya untuk membina sebuah masjid di tapak tersebut, yang akan dinamakan Masjid Madani. Perdana Menteri Anwar dijadualkan merasmikan majlis pecah tanah masjid itu pada hari Khamis ini.