ADS
Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Cubaan samun 'kantoi, Salleh Solo' diberkas
Diterbitkan:  Mar 25, 2025 4:21 PM
Dikemaskini: 8:21 AM

Polis menahan empat lelaki dipercayai terlibat kegiatan pecah rumah dan cubaan samun yang dilakukan secara berseorangan atau solo di sekitar daerah Melaka Tengah membabitkan kerugian keseluruhan berjumlah RM76,000.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Christopher Patit berkata pada 4 petang Ahad lepas, polis menahan seorang pengawal keselamatan digelar 'Salleh Solo' berusia 48 tahun yang bekerja di Kuala Lumpur dipercayai melakukan pecah rumah di negeri ini.

"Penahanan dilakukan berdasarkan kesan cap jari di tempat kejadian, sekali gus menyelesaikan kes pecah rumah yang menyasarkan rumah tiada penghuni membabitkan kerugian RM45,000,” katanya pada sidang media di Melaka hari ini.

Beliau berkata pada 16 Mac lepas, polis menahan seorang penganggur digelar 'Nathan Solo' berusia 47 tahun yang dipercayai terlibat sekurang-kurangnya tiga kes pecah rumah dengan kerugian dianggar RM25,000.

Christopher berkata seorang penganggur dikenali 'Joseph Solo' berusia 58 tahun pula ditahan dua hari kemudian selepas dipercayai terlibat dengan kegiatan pecah masuk hostel pekerja dan mencuri telefon bimbit melibatkan kerugian berjumlah RM6,000.

ADS

Beliau berkata tangkapan terakhir turut melibatkan seorang penganggur digelar 'Jebot Solo' yang berusia 31 tahun kira-kira 12 tengah hari, di sebuah rumah di Kampung Bertam Malim, 20 Mac lepas.

“Jebat Solo disyaki terlibat dalam cubaan merompak dengan modus operandi menyasarkan orang awam yang bersendirian. Dia berpura-pura menegur mangsa dan kemudian cuba merompak barang berharga daripada mangsa,” katanya.

Christopher berkata keempat-empat individu terbabit dengan dua daripadanya yang baru bebas dari penjara dipercayai aktif menjalankan kegiatan itu sejak Februari lepas.

Mereka menggunakan motosikal untuk melakukan kegiatan jenayah itu secara solo dipercayai bagi memperoleh wang perbelanjaan.

"Kesemuanya didapati mempunyai rekod berkaitan jenayah dan dadah selain seorang daripadanya positif dadah jenis methamphetamine. Kes disiasat di bawah Seksyen 457, Seksyen 380, Seksyen 411, Seksyen 393 dan Seksyen 384 Kanun Keseksaan," katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS
ADS
ADS