Bekas pegawai penyiasat polis memberitahu Mahkamah Tinggi Putrajaya bahawa bekas pengerusi 1MDB Bakke Salleh menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap pengalihan dana sebanyak AS$700 juta milik syarikat itu.
R Rajagopal berkata demikian ketika pemeriksaan utama oleh peguam Muhammad Shafee Abdullah dalam perbicaraan kes salah guna kuasa dan pengubahan wang haram berjumlah RM2.27 bilion terhadap Najib hari ini.
Rajagopa, yang bertanggungjawab menyiasat dakwaan pecah amanah jenayah (CBT) dalam 1MDB, berkata rasa tidak puas hati itu dinyatakan Bakke ketika mengambil keterangannya sebelum ini.
Rajagopal memberitahu hakim Collin Lawrence Sequerah bahawa Bakke berkata dia dan lembaga pengarah tidak berpuas hati dengan sifat perjanjian usaha sama AS$1 bilion yang ditandatangani 1MDB dan Petrosaudi International Limited (PSI) pada September 2009, serta pengalihan AS$700 juta yang sepatutnya untuk usaha sama tersebut.
Bekas pegawai polis itu berkata lembaga pengarah kecewa apabila mendapati perjanjian itu, yang sepatutnya antara 1MDB dan PSI, sebenarnya melibatkan sebuah entiti berpangkalan di Kepulauan Cayman yang didakwa berkaitan dengan PSI.
"Ketika kami (polis) merakam kenyataan mereka (Bakke dan ahli lembaga lain), pemahaman mereka adalah perjanjian itu antara 1MDB dan PSI. Oleh itu, apabila saya merakam kenyataan Bakke, dia tidak berpuas hati dengan perjanjian tersebut dan ke mana perginya AS$700 juta itu," kata Rajagopal.
Dia menambah bahawa AS$700 juta tersebut akhirnya berakhir di dalam akaun entiti luar pesisir, Good Star Limited, yang dikaitkan dengan individu utama skandal 1MDB, Low Taek Jho atau Jho Low.
Lembaga pengarah tak gembira
Sepanjang perbicaraan 1MDB, Bakke dan bekas CEO 1MDB Shahrol Azral Ibrahim Halmi yang menjadi saksi pendakwaan memberi keterangan bahawa lembaga pengarah tidak berpuas hati dengan pengalihan dana tersebut.
Bakke juga sebelum ini memberi keterangan bahawa dia menghantar pesanan SMS kepada Najib mengenai isu dalam 1MDB, namun bekas perdana menteri itu didakwa tidak memberi sebarang maklum balas. Bakke kemudian meletakkan jawatan sebagai pengerusi syarikat itu pada akhir Oktober 2009.
Bagaimanapun, Najib dalam pembelaannya berkata Bakke sepatutnya cuba bertemu dengannya untuk membincangkan isu berkaitan 1MDB, bukan hanya menghantar SMS.
Sejak perbicaraan bermula pada 2019, bukti lisan dan dokumen telah dikemukakan di mahkamah untuk menunjukkan Good Star pada satu ketika pernah digambarkan secara salah sebagai anak syarikat PSI.
Pasukan pembelaan Najib pula berhujah bahawa dia tidak mengetahui atau terlibat dalam sebarang salah laku di 1MDB, dan penyelewengan dana didalangi sepenuhnya oleh Low serta anggota pengurusan 1MDB.
Bagaimanapun, pasukan pendakwaan mendakwa tindakan Low di 1MDB dilakukan dengan restu Najib.
Kes prima facie
Pada 30 Okt tahun lepas, mahkamah memerintahkan Najib membela diri atas empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM2.27 bilion daripada 1MDB.
Sequerah memutuskan pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Najib berdasarkan keterangan kira-kira 50 saksi.
Selain Bakke dan Shahrol, saksi pendakwaan lain termasuk bekas anggota pengurusan 1MDB, antaranya bekas ketua pegawai kewangan Azmi Tahir dan bekas penasihat undang-undang Jasmine Loo.
Antara awal Disember tahun lalu hingga akhir Januari tahun ini, Najib menghabiskan 26 hari di kandang saksi bagi mencabar kes pendakwaan dan menimbulkan keraguan munasabah.
Antara hujah pembelaan Najib adalah dia dijanjikan derma oleh mendiang Raja Abdullah dari Arab Saudi dalam satu pertemuan di Riyadh pada 2010.
Pendakwaan dikendalikan oleh timbalan pendakwa raya Ahmad Akram Gharib.