ADS
Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ada 48 premis, bangunan terbiar di sekitar ibu kota - Zaliha
Diterbitkan:  Mar 25, 2025 3:14 PM
Dikemaskini: 7:14 AM

Sebanyak 48 premis dan bangunan bangunan terbiar dikenal pasti di sekitar ibu kota setakat 20 Feb, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa.

Beliau berkata berdasarkan rekod terkini Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) daripada jumlah itu, 25 merupakan bangunan kediaman manakala 23 lagi bangunan komersil.

"Analisis terhadap data menunjukkan bangunan terbiar ini (terletak) di beberapa kawasan antaranya Jinjang Utara iaitu sekurang-kurangnya tujuh premis dengan majoritinya kediaman, mungkin disebabkan isu setempat berpunca daripada perumahan lama.

Dr Zaliha Mustafa

"Jalan Sultan Azlan Shah atau Jalan Ipoh mempunyai beberapa unit kediaman dan komersil ditinggalkan mencerminkan kemerosotan bandar atau pembangunan terbantut selain beberapa premis di Lorong Tiong Nam dengan kebanyakan di deretan kedai lama yang usang,” katanya.

ADS

Dr Zaliha berkata demikian pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini, bagi menjawab soalan Senator Tan Sri Mohamad Fatmi Che Salleh mengenai jumlah bangunan terbiar di sekitar ibu kota dan usaha menyelesaikan isu itu.

Beliau berkata beberapa kawasan strategik seperti Jalan Bukit Bintang, Jalan Pudu dan Jalan Gombak turut mempunyai bangunan terbiar menunjukkan isu itu bukan sahaja berlaku di kawasan pinggir bandar tetapi lokasi utama komersil berpotensi tinggi.

“Turut mengejutkan apabila beberapa kawasan kejiranan dianggap matang dan stabil serta mempunyai permintaan tanah yang konsisten seperti Kampung Baru, Taman Tun Dr Ismail, Setapak, Cheras dan Kampung Pandan turut mempunyai bangunan terbiar.

“Ini kemungkinan berpunca daripada isu pemilikan berlapis, perancangan warisan yang terbantut atau kegagalan pelaburan hartanah menyebabkan premis dibiarkan kosong dalam masa lama,” katanya.

Bagi menangani isu itu, Dr Zalihan berkata DBKL telah mengambil beberapa langkah proaktif termasuk mengeluarkan surat pemberitahuan dan notis di bawah Seksyen 74 dan 75 Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) kepada semua pemilik premis namun sehingga kini, hanya sembilan mengambil tindakan sewajarnya.

Seksyen 74 memberi kuasa kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk mengarahkan pemilik memperbaiki atau membersihkan bangunan kotor dan menyakitkan mata manakala Seksyen 75 membolehkan tindakan diambil jika pemilik gagal mematuhi arahan itu.

Selain itu, terdapat peruntukan Seksyen 83(1) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) membolehkan PBT memerintahkan pembaikan, pengubahsuaian atau perobohan bangunan dianggap membahayakan keselamatan awam atau merosakkan nilai estetika persekitaran.

Dr Zaliha berkata DBKL sedang meneliti strategi guna semula atau pembangunan semula dengan rakan strategik bersesuaian agar bangunan terbiar dapat dipulihkan dan dimasukkan semula dalam kitaran pasaran selain membolehkan kawasan usang diaktifkan secara lebih holistik.

Menjawab soalan tambahan Mohamad Fatmi sama ada terdapat task force atau organisasi bagi pengambilalihan bangunan dan memperbaharui, jual semula atau sewa bangunan usang terlibat, Dr Zaliha berkata beliau bersetuju untuk menubuhkan pasukan petugas khas bagi melihat isu itu dengan lebih terperinci.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS
ADS
ADS