ADS
Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
NGO kunjungi ketua uskup KL, hargai sokongan Pope terhadap Palestin

Sebagai pengiktirafan terhadap sokongan Pope Francis ke atas nasib rakyat Palestin yang terkepung di Gaza, satu delegasi kumpulan masyarakat sivil hari ini menyampaikan mesej solidariti mereka kepada Ketua Biskop Kuala Lumpur Julian Leow.

Jurucakap kumpulan tersebut, Tian Chua, bagi pihak Sekretariat Solidariti Palestin, berkata mereka turut menyatakan kebimbangan terhadap keadaan kesihatan Pope Francis. Dia sebelum ini dilaporkan telah pulih selepas lima minggu dirawat di hospital akibat radang paru-paru.

“Tujuan utama lawatan hormat ini adalah kerana Pope Francis merupakan salah seorang pemimpin agama yang lantang bersuara di peringkat global mengenai hak rakyat Palestin,” kata Chua kepada Malaysiakini sebelum pertemuan tertutup mereka dengan Leow di Pejabat Ketua BIskop di Kuala Lumpur.

“Pada Krismas yang lalu, dia (Francis) membuat dekorasi yang mencerminkan penderitaan rakyat Palestin.

ADS

“Justeru, kumpulan solidariti Palestin di Malaysia ingin mengambil peluang ini untuk menyampaikan penghargaan serta menegaskan bahawa isu Palestin melangkaui batas agama,” kata bekas ahli Parlimen Batu itu.

Pada 23 Mac lalu, Vatican News melaporkan Pope Francis membuat kemunculan awam pertamanya di tingkap Hospital Gemelli di Rom, sementara refleksi hari Ahadnya turut menyatakan seruan agar penggunaan senjata di Gaza diredakan.

Pope Francis

Menurut buletin rasmi gereja, Francis dalam teks doa yang disediakan, menulis: “Saya berasa sedih dengan penerusan semula pengeboman Israel di Semenanjung Gaza, yang menyebabkan banyak kematian dan kecederaan.

“Saya menyeru agar serangan dihentikan serta-merta dan untuk keberanian bagi menyambung semula dialog supaya semua tebusan dapat dibebaskan serta gencatan senjata muktamad dapat dicapai,” katanya.

Berdoa untuk keamanan

Selepas pertemuan selama sejam hari ini, Leow menyatakan penghargaan atas keprihatinan yang ditunjukkan terhadap kesihatan Pope Francis.

“Saya sangat gembira dan tersentuh dengan kunjungan rakan-rakan yang datang hari ini untuk menyatakan keprihatinan mereka terhadap kesihatan Pope Francis.

Ahmad Awang, Julian Leow dan Tian Chua

“Mereka telah menulis kepada saya, dan saya gembira mereka dapat datang hari ini supaya kita dapat berbincang serta berkongsi pandangan mengenai pelbagai isu,” katanya kepada Malaysiakini.

“Saya rasa kami berkongsi banyak perkara yang sama, terutamanya mengenai keamanan dunia dan usaha pemahaman antara agama. Kami sangat gembira dengan pertemuan ini dan mendoakan keamanan,” katanya lagi.

Politik yang tidak perlu

Turut hadir adalah pengerusi bersama Malaysia Mosque for Al-Aqsa and Palestine (MM4AP) Ahmad Awang, yang menegaskan semua agama mendambakan keamanan.

Ahmad yang juga penasihat Amanah berkata kebimbangan akan tercetus apabila isu agama dimainkan oleh parti politik demi kepentingan sendiri tanpa mengambil kira kesannya terhadap hubungan antara agama.

Pada 18 Mac lalu, tentera Israel mengesahkan mereka telah melancarkan serangan udara terbesar ke atas Gaza sejak gencatan senjata dengan Hamas berkuat kuasa pada 19 Januari.

Serangan itu secara langsung membatalkan perjanjian gencatan senjata antara Israel dan Hamas.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS
ADS
ADS