Sistem digital Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) baru-baru ini diserang oleh penggodam yang menuntut "10 juta dolar", menurut Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Dalam ucapannya pada sambutan Hari Polis ke-218 di Kuala Lumpur, pagi tadi, Anwar mendedahkan bahawa serangan siber itu berlaku "satu dua hari lalu".
Bagaimanapun, katanya, kerajaan memutuskan untuk tidak tunduk kepada penjenayah itu dan sebaliknya merancang untuk memperuntukkan lebih banyak dana untuk mempertingkatkan keselamatan sistem siber Malaysia.
“Semalam kita bicara tentang serangan siber dan hacking (penggodaman) dan agak berat terhadap MAHB dalam satu dua hari yang lalu.
“Jadi perbincangan bagaimana menyelesaikan termasuk tuntutan daripada penggodam untuk memperolehi dana 10 juta dollar atau sebagainya.
“Saya dimaklum, saya alhamdulillah bulan Ramadan, saya tak tunggu lima saat, saya terus jawab no (tidak).
“Tidak mungkin negara ini akan selamat kalau pimpinannya dan sistemnya mengizinkan kita tunduk pada altimatum (kata dua) penjenayah atau pengkhianat, dalam atau luar negara," kata Anwar.
Perdana menteri, bagaimanapun, tidak menjelaskan secara terperinci berkenaan kejadian serangan siber berkenaan dan jika ia telah diselesaikan.
Walaupun mengakui keputusan sedemikian ada risikonya, Anwar berkata ikejadian tersebut membuktikan keperluan negara untuk memperuntukkan lebih banyak sumber kepada polis dan Bank Negara, antara lain, untuk mempersiapkan diri melawan penggodam.
Semalam, bekas ahli parlimen Wangsa Maju, Wee Choo Keong dalam satu catatan di X mempersoalkan jika MAHB menjadi mangsa serangan siber, sehingga mendakwa ada gangguan dalam sistem di KLIA dan KLIA2.
Butiran maklumat adalah terhad walaupun di media sosial, tetapi menurut Wee dan sekurang-kurangnya satu hantaran di media sosial lain Malaysiakini difahamkan paparan maklumat penerbangan adalah antara yang terjejas.
Sebaliknya, maklumat ketibaan dan paparan tersebut dikemas kini secara manual pada papan putih.
Wee mendakwa kaunter daftar masuk dan sistem pengendalian bagasi turut terjejas semasa gangguan 10 jam yang dilaporkan tersebut.
MAHB mahupun Kementerian Pengangkutan belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung perkara itu sehingga berita ini ditulis.