Perdana Menteri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa kontroversi tanah di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur mesti dikendalikan mengikut kedaulatan undang-undang.
Dalam ucapannya pada sambutan Hari Polis ke-218 pagi tadi, Anwar berkata kuil Dewi Sri Pathrakaliamman itu didirikan di atas sebidang tanah tanpa kebenaran pemiliknya sebelum ini mahupun sekarang.

Sambil berkata ia perlu dipindahkan, dia menegaskan bahawa kuil itu bukanlah rumah ibadat pertama yang telah dipindahkan atau dirobohkan kerana melanggar undang-undang.
“... soal pembinaan masjid di tapak yang ada kuil yang tidak mendapat izin. Ada orang tak mahu sebut, bukan kuil haram, tak apalah istilah.
“Tapi kuil itu tidak dapat izin milik tanah dari tuan tanah, sama ada (tuan tanah) dulu DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur) atau sekarangnya syarikat (yang memilikinnya).
“Jadi kita negara hukum. Negara hukum ini ikut hukum dan oleh kerana nak jaga hubungan antara kaum, kita lakukan sesuatu yang tidak semestinya perlu iaitu runding dengan baik kerana bagi mereka (penganut agama Hindu) itu tempat kepecayaan dan amalan agama harus dipindahkan dengan baik,” kata Anwar.
Perdana menteri mengulas kontroversi yang melibatkan sebidang tanah di Jalan Munshi Abddulah berhampiran Jalan Masjid India, yang menempatkan kuil Dewi Sri Pathrakaliamman.
Kuil itu dikatakan telah dibina pada 1893, beberapa dekad sebelum DBKL dan agensi pendahulunya ditubuhkan.
BACA LANJUT: PANDUAN KINI l Menyorot isu pindah kuil Hindu di tengah KL
Selepas Merdeka, DBKL menjadi pemilik tanah tersebut sebelum ia dijual pada 2014 kepada syarikat tekstil Jakel Group.
Jakel baru-baru ini mengumumkan rancangannya untuk membina sebuah masjid di sana, yang akan dinamakan Masjid Madani, dengan Anwar dijadualkan merasmikan majlis pecah tanah pada Khamis ini.
Masjid juga dirobohkan
Sambil berkata kuil itu perlu dipindahkan, Anwar menegaskan bahawa ia bukan rumah ibadat pertama yang telah dipindahkan atau dirobohkan kerana melanggar undang-undang.
Mengambil beberapa contoh, Anwar berkata terdapat masjid di Lahad Datu, Sabah dan di Sentul, Kuala Lumpur yang pernah dirobohkan kerana dibina tidak mengikut peraturan.
"...yang saya ambil sikap begini kerana saya ambil pendekatan yang sangat sabar. Saya minta supaya selesai dengan baik.
“Saya seorang Muslim, mahu jadi Muslimin Hakikiyun. Saya tidak pernah diajar oleh agama saya untuk memusuhi dan merosakkan harta benda mereka, tetapi jangan mereka anggap bahawa kita ini lemah,” katanya.
Justeru, kata perdana menteri negara ini mesti ditegakkan berdasarkan undang-undang.
"Walaupun dia salah, tempatnya salah, kita kata, angkat baik-baik, pindah. Syarikat beri sedikit ganti rugi, saya tak tahu ganti rugi bersebab apa, kemudian diberikan tempat baharu dengan ihsan DBKL.
“Jawatankuasa (kuil) setuju runding tapi ada penghasut-penghasut lain, entah dari mana dengan bicaranya yang melampau.
"...yang kelompok Islam yang ekstrem maki saya kerana dia kata saya ini tunduk kepada kumpulan (agama) Hindu, yang kelompok Hindu yang melampau pula kata saya ini nak Islamkan semua, apatah lagi masjid itu nak dinamakan Masjid Madani," kata Anwar.