Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Armizan Mohd Ali menafikan dakwaan bahawa dirinya terlibat dalam rasuah dan merancang untuk membuat laporan polis terhadap mereka yang menuduhnya.
Ini susulan mesej tular di media sosial yang mengaitkan ahli Parlimen Papar itu dengan dakwaan skandal rasuah membabitkan projek carigali mineral di Sabah.
“Saya dimaklumkan ada mesej fitnah diviralkan yang, antara lain, melibatkan nama saya di bulan Ramadan ini.
“Syukur salah seorang yang menyebarkan fitnah dalam bentuk cerita dongeng ini dikenal pasti sebagai mantan wakil rakyat yang menghantar mesej tersebut kepada pelbagai pihak yang kemudiannya merujuk kepada saya.
“Sementara menunggu nasihat daripada peguam, saya akan mulakan dengan laporan polis berdasarkan kepada mesej melalui whatsapp yang beliau hantar, katanya dalam satu kenyataan di Facebook malam tadi.
Timbalan Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS) itu bagaimanapun tidak menamakan bekas wakil rakyat berkenaan.
Carian di Facebook mendapati beberapa hantaran merujuk seseorang yang dikenali sebagai “Datuk Z” mendakwa Armizan terlibat dalam rundingan antara sebuah syarikat di Indonesia dan Sabah Mineral Management Sdn Bhd (SMM) berhubung lesen carigali mineral di negeri itu.
Hantaran itu termasuk gambar dakwaan lawatan SMM dan Armizan ke pejabat syarikat tersebut di Jakarta pada Mei 2023.