Timbalan Ketua Penerangan PKR 1 Datuk Seri R. Ramanan berkata hasrat tujuh pemimpin parti itu termasuk beliau untuk bertanding jawatan naib presiden setakat ini mencerminkan kesuburan demokrasi dalam PKR.
Beliau berkata pertandingan seumpama itu adalah sihat dalam mendemokrasikan parti selaras dengan prinsip PKR dan yakin akar umbi bijak membuat keputusan terbaik untuk parti.
Ramanan berkata keputusannya untuk bertanding jawatan naib presiden pada pemilihan parti itu Mei ini adalah bagi mengangkat suara akar umbi terutama dalam persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
“Kali ini pemilihan bukan setakat pemilihan biasa sebab ini pemilihan yang akan menentukan hala tuju parti pada ketika kita (PKR) adalah kerajaan. Yang penting kita kena adakan pemilihan untuk betul-betul membawa suara akar umbi naik kepada persiapan menghadapi PRU akan datang.
“Kalau kita lihat ahli politik (akar umbi), mereka tahu apa yang sebenarnya berlaku. Mereka ini (walaupun) tidak bekerja di pejabat, tapi pemahaman politik mereka itu jangan kita ambil mudah (take it for granted). Mereka mengikuti perkembangan politik semasa. Mereka mendapat banyak maklumat,” katanya ketika ditemui pada Majlis Berbuka Puasa IKMa dan Media di Institut Koperasi Malaysia (IKMa) di Petaling Jaya, hari ini.
Terdahulu, Ramanan mengumumkan keputusan untuk bertanding bagi memperkukuh dan memperkasakan lagi PKR dari peringkat akar umbi sehinggalah pimpinan pusat.
Ramanan yang juga ahli Parlimen Sungai Buloh berkata beliau telah memaklumkan mengenai hasratnya itu kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Presiden PKR sebelum membuat keputusan.
Media sebelum ini melaporkan empat penyandang telah menyatakan hasrat untuk mempertahankan jawatan naib presiden parti iaitu Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari, Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad serta Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang.
Nurul Izzah Anwar juga sudah mengesahkan menawarkan diri untuk bertanding jawatan naib presiden manakala pada Ahad lepas Ketua Penerangan PKR Datuk Fahmi Fadzil yang juga Menteri Komunikasi turut mengumumkan hasrat yang sama.
Sementara itu, Ramanan yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Malaysia dalam ucapannya pada majlis itu berkata media berperanan penting dalam menyampaikan maklumat tepat, telus dan berimbang kepada masyarakat terutamanya dalam era digital dan maklumat tanpa sempadan.
Beliau berkata media bukan sahaja berfungsi menyebarkan berita tetapi juga memainkan peranan besar dalam membentuk persepsi rakyat serta menjelaskan dasar-dasar kerajaan dengan lebih berkesan.
- Bernama