Timbalan Setiausaha Agung DAP yang baru, Steven Sim menyerahkan kepada Perdana Menteri, Anwar Ibrahim dan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke untuk menentukan sama ada rombakan Kabinet akan berlaku atau sebaliknya.
Ini selepas terdapat desas-desus mengenai kemungkinan berlaku rombakan Kabinet susulan pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP baru-baru ini.
Bagaimanapun, menurut Sim yang juga Menteri Sumber Manusia, Loke telah menyatakan secara jelas bahawa tiada rombakan Kabinet akan dilakukan setakat ini.
"Saya rasa Loke telah buat kenyataan bahawa ini memang hak (setiausaha agung DAP) dan terpulang kepada setiausaha agung. Setiausaha agung juga telah buat keputusan dan kenyataan bahawa tidak ada rombakan.
“Jadi, kita hormat kuasa dan juga keputusan setiausaha agung.
“Selebihnya saya rasa perdana menteri dan setiausaha agunglah yang tentukan,” katanya ketika ditemui selepas majlis berbuka puasa dan sesi ramah mesra bersama pengamal media di ibu negara hari ini.
Mengulas desas-desus mengenai kemungkinan rombakan Kabinet itu, Sim menegaskan bahawa fokus utama DAP adalah untuk terus bekerja dan memberi khidmat.
"Bagi saya, kita akan terus bekerja, berusaha dan jalan terus," katanya ringkas.
Desas-desus mengenai perubahan barisan Kabinet menjadi perbualan selepas pemilihan CEC DAP pada 16 Mac lalu.

Bekas Ahli Parlimen Bangi, Ong Kian Ming, sebelum ini berkata DAP berpeluang menukar menteri dan timbalan menterinya pada Disember ini apabila tempoh Senator Tengku Zafrul Abdul Aziz sebagai Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri tamat.
Walaupun Anthony Loke menegaskan pemilihan CEC tidak akan memberi kesan kepada kedudukan menteri atau timbalan menteri DAP dalam kerajaan, spekulasi tetap berlegar.
Menerusi satu temu bual dalam podcast berbahasa Cina Malaysiakini, Ong menyatakan jika DAP terus mengangkat tema “perubahan generasi” sebagaimana dalam pemilihan parti, tokoh seperti M Kulasegaran dan Lim Hui Ying mungkin akan digantikan.
Kulasegaran, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), sebelum ini tidak bertanding dalam pemilihan CEC bagi memberi laluan kepada pemimpin muda.
Dia pernah menyandang jawatan Menteri Sumber Manusia ketika pentadbiran Pakatan Harapan pada 2018.
Sementara itu, Lim Hui Ying, Timbalan Menteri Kewangan dan Ahli Parlimen Tanjong, gagal mempertahankan kedudukannya dalam pemilihan CEC baru-baru ini.
PKR pula dijangka mengadakan pemilihan parti pada Mei ini, dan sekiranya berlaku perubahan dalam barisan kepimpinan, rombakan dalam kalangan menteri dan timbalan menteri PKR juga mungkin akan berlaku.
Dalam temu bual di stesen radio BFM pada 3 Mac lalu, Zafrul mengesahkan akan meletakkan jawatan sebagai menteri pada pertengahan Disember dan menolak kemungkinan bertanding semula melalui pilihan raya kecil bagi membolehkan dia kembali ke Parlimen dan Kabinet.