Bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad, mengeluarkan kenyataan keras terhadap rejim Zionis dan sekutunya Amerika Syarikat, susulan kegagalan Israel mematuhi perjanjian gencatan senjata di Gaza.
Dalam satu kenyataan, Mahathir menyifatkan Israel sebagai “binatang dari neraka” yang telah menyambung semula tindakan genosid terhadap rakyat Palestin selepas tempoh gencatan berakhir.
“Seperti yang saya jangka, pihak Israel tidak menunaikan komitmen mereka dalam perjanjian gencatan senjata.
“Mereka hanya menghentikan pembunuhan untuk membebaskan tebusan, tetapi tetap meneruskan sekatan ke atas bekalan makanan, ubat-ubatan dan tempat perlindungan sementara,” tegasnya.
Mahathir turut mendakwa rejim Israel kini menuntut semua baki tebusan dibebaskan, dan bersama Amerika Syarikat, mengugut akan membawa “neraka” ke Gaza sekiranya penduduk tidak mematuhi tuntutan tersebut.

“Dan sekarang, binatang-binatang dari neraka ini telah memulakan semula pembunuhan beramai-ramai,” kata Mahathir dalam kenyataan penuh emosi.
Setakat ini lebih 700 rakyat Palestin terbunuh dan lebih 1,200 lagi cedera dalam serangan udara mengejut oleh Israel ke atas Gaza sejak Selasa, sekali gus melanggar gencatan senjata dan perjanjian pertukaran tahanan yang berkuat kuasa pada Januari
Semalam dilaporkan sekurang-kurangnya 41 lagi rakyat Palestin terbunuh dalam serangan udara Israel di Semenanjung Gaza, menjadikan jumlah kematian sejak Oktober 2023 meningkat kepada 50,021 orang.
Israel, AS mahu jadikan Gaza pusat peranginan
Mengulas lanjut Mahathir berkata tindakan Israel jelas menunjukkan matlamat utama mereka adalah untuk menakluki sepenuhnya Gaza dan membunuh seluruh penduduk Palestin.
“Saya percaya bahawa jika semua tebusan dibebaskan sekalipun, mereka akan meneruskan serangan dan pembunuhan. Mereka tidak akan berhenti sehingga Gaza berada dalam genggaman mereka,” ujar beliau.

Mahatir juga mendakwa Israel dan Amerika bercita-cita menjadikan Gaza sebagai pusat peranginan, demi mengaut keuntungan hasil daripada pembunuhan terhadap rakyat Palestin.
“Mereka mahu menjadikan Gaza pusat pelancongan. Mereka mahu menjana kekayaan melalui pembunuhan manusia,” katanya.
Dia turut menyelar sikap dunia yang menurutnya takut kepada kuasa Amerika Syarikat, meskipun jelas negara itu menjadi pelindung kepada kekejaman Israel.
Sebagai penyelesaian, Mahathir menggesa agar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) segera menghantar pasukan pengaman pelbagai negara ke Gaza bagi melindungi penduduk daripada terus menjadi mangsa pembunuhan.
“Israel dan Amerika pasti akan menentang pasukan itu. Tetapi dunia mesti sanggup mengambil risiko. Manusia yang tidak berperikemanusiaan ini mesti dihentikan dengan kekerasan. Itulah satu-satunya jalan,” tegasnya.