Pergolakan rumah tangga pasangan pelakon Farid Kamil dan Diana Danielle berakhir apabila mereka sekali lagi sah bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan di Kuala Lumpur hari ini.
Farid Kamil atau nama penuhnya Farid Kamil Zahari, 43, melafazkan cerai talak satu terhadap Diana Danielle atau nama sebenarnya Diana Danielle Danny Beeson, 33, di hadapan Hakim Syarie Abdul Fattah Kamarudin selepas mahkamah membenarkan permohonan cerai yang difailkan pelakon dan penyanyi wanita itu mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984.
Peguam syarie Datuk Akberdin Abdul Kader yang mewakili Diana ketika ditemui pemberita selepas prosiding berkata kedua-dua pihak telah menyelesaikan pertikaian dengan cara baik dan Farid telah melepaskan Diana dengan talak satu buat kali kedua.
"Alhamdulillah, mereka telah bercerai secara baik, Farid telah melepaskan Diana dengan satu talak, berjumlah dua talak. Sebelum ini satu talak, ini adalah kali kedua.
"Bagi laporan Jawatankuasa Pendamai (JKP), ia tidak dibentangkan semasa prosiding tadi kerana keputusan telah dibuat untuk melepaskan secara baik, jadi tiada keperluan untuk baca laporan tersebut, oleh itu mahkamah teruskan dengan permohonan asal iaitu untuk melepaskan secara baik," kata peguam itu.
Sementara itu ketika ditanya mengenai penjagaan anak mereka iaitu Muhammad, 11, dan Nur Aurora, 9, Diana berkata beliau akan terus menjaga kedua-duanya seperti sebelum ini dan tiada sebarang sekatan akan dikenakan terhadap Farid jika lelaki itu ingin bertemu dengan mereka.
"Saya tidak bercadang untuk simpan anak-anak untuk diri sendiri dan menyusahkan bekas suami sebab bagi saya anak-anak masih perlukan ibu dan ayah, kami cuba untuk buatkan mereka lebih selesa.
"Masing-masing boleh teruskan fokus kepada anak-anak serta kepada jalinan persahabatan yang lebih baik selepas ini. Tiada apa lagi untuk diperkatakan sebab segalanya dah selesai dan terima kasih kepada Farid kerana memberikan (apa yang diinginkan)," katanya.
Farid yang turut mengakui perkara itu berkata seperti yang dipersetujui sebelum ini, pihak Diana akan terus menjaga dua anak mereka dan berharap perkara itu (tiada sekatan untuk berjumpa dengan anak-anak) akan terus berkekalan.
"Saya juga ucapkan terima kasih kepada Diana kerana memahami situasi dan kami boleh berikan fokus kepada anak-anak. Apa yang terbaik ialah apa yang berlaku pada hari ini," kata Farid yang diwakili peguam Fakhrul Azman Abu Hassan pada prosiding hari ini.
Pada 10 Mac 2023, pelakon utama filem Imaginur itu memfailkan permohonan cerai terhadap Farid di Mahkamah Syarikah Petaling, Subang Bistari atas alasan tiada persefahaman dan berlaku shiqaq atau perbalahan berpanjangan serta tidak lagi mampu hidup bersama sebagai suami isteri.
Pasangan itu sah bercerai talak satu menerusi aplikasi Google Meet pada 10 Ogos tahun lepas, namun mereka telah rujuk sebulan kemudian.
Pada 4 Nov lepas, Diana sekali lagi memfailkan permohonan sama atas alasan serupa iaitu tiada persefahaman dan berlaku shiqaq atau perbalahan berpanjangan di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan di Kuala Lumpur.
- Bernama