ADS
Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Anak didik Tiong Lai dijangka sertai Bersatu malam ini
Diterbitkan:  Mar 24, 2025 12:02 PM
Dikemaskini: 4:02 AM

Leong Kim Soon, bekas setiausaha politik kepada bekas presiden MCA, Liow Tiong Lai dijangka akan mengetuai lebih seratus orang bukan Melayu menyertai sayap ahli bersekutu Bersatu.

Pengerusi sayap ahli bersekutu Bersatu Selangor, Goh Gaik Meng memberitahu Malaysiakini malam tadi bahawa Leong akan secara rasmi menyertai parti itu dalam satu majlis berbuka puasa di Janda Baik, Bentong, sekitar jam 6 petang hari ini.

Dua minggu lalu, Goh memaklumkan kepada media berbahasa Cina bahawa beberapa tokoh terkenal akan beralih sokongan kepada Bersatu dalam masa terdekat.

Bercakap kepada Malaysiakini malam tadi, dia mendedahkan Leong salah seorang tokoh tersebut, dan menambah lebih ramai tokoh besar akan menyertai parti itu tidak lama lagi.

ADS

Leong sendiri turut mengesahkan kepada beberapa media berbahasa Cina bahawa dia akan menyertai sayap ahli bersekutu Bersatu.

Menurut Sin Chew Daily, Leong berkata Ketua Pembangkang dan Timbalan Presiden Bersatu, Hamzah Zainudin, juga akan hadir ke majlis di Janda Baik petang ini.

Ketika Liow memegang jawatan presiden MCA dan menteri kabinet, Leong berkhidmat sebagai setiausaha politik .

Leong juga pernah memegang beberapa jawatan dalam parti, termasuk setiausaha agung Pemuda MCA, ketua Pemuda MCA Pahang dan jurucakap MCA.

Pada pilihan raya umum 2013, Leong bertanding di kerusi DUN Bilut di Pahang, tetapi tewas kepada calon DAP, Chow Yu Hui.

Setiausaha Agung MCA, Chong Sin Woon dilaporkan Sin Chew Daily malam tadi berkata mana-mana ahli MCA yang menyertai parti lain akan dipecat serta-merta, walaupun tanpa mengemukakan surat peletakan jawatan.

Dia dilapor menyuarakan rasa terkejut dan kecewa dengan tindakan bekas rakan seperjuangannya dalam Pemuda MCA itu.

Sejak beberapa bulan kebelakangan ini, beberapa ahli MCA telah bertukar parti dan menyertai Bersatu, termasuk ahli majlis tempatan Lim Yew Chin.

Goh sendiri pernah menjadi ahli MCA dan bertanding jawatan Ketua Pemuda MCA pada pemilihan parti 2021 namun tewas kepada Chong.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS
ADS
ADS