ADS
Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Budak dijangkiti H1N1 lepas diberi masakan ayam mati
Diterbitkan:  Mar 24, 2025 8:46 AM
Dikemaskini: 1:43 AM

GLOBAL | Seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun enam bulan dari wilayah Kratie, timur laut Kemboja, disahkan dijangkiti selesema burung H5N1, menjadikan tiga kes dikesan di negara itu sejak Jan lalu, lapor Xinhua.

Dalam kenyataan semalam, Kementerian Kesihatan Kemboja memaklumkan kanak-kanak terbabit dibawa ke hospital dalam keadaan kritikal dengan gejala demam, batuk dan sesak nafas.

Kata kementerian itu, mangsa kini menerima rawatan perubatan dengan penjagaan terbaik daripada sepasukan doktor.

"Siasatan mendapati keluarga pesakit menternak ayam dan kira-kira lima ekor ayam mati, manakala beberapa ekor lagi sakit. Ahli keluarganya memasak ayam yang telah mati itu untuk dimakan," katanya.

Menurut Xinhua, pihak berkuasa kesihatan sedang menyiasat punca jangkitan serta memeriksa sebarang kes yang disyaki atau individu yang mempunyai kontak dengan pesakit bagi mengelakkan wabak merebak dalam masyarakat.

ADS

Daripada tiga kes H5N1 dalam kalangan manusia setakat tahun ini, kata kemeterian berkenaan, dua kes berakhir dengan kematian.

Semua pesakit pula dilaporkan mempunyai sejarah terdedah kepada unggas yang sakit atau mati sebelum mereka jatuh sakit.

Menurut Kementerian Kesihatan Kemboja, dari 2003 hingga kini, terdapat 75 kes jangkitan manusia dengan selesema H5N1, termasuk 45 kematian.

- Bernama/Xinhua


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS
ADS
ADS