ADS
Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Abim gesa halang penglibatan Israel dalam sukan antarabangsa

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menggesa masyarakat antarabangsa untuk mempertingkatkan tekanan terhadap Israel berikutan serangan tidak berperikemanusiaan terhadap masyarakat awam di Gaza.

Presiden ABIM Ahmad Fahmi Mohd Samsudin berkata antara langkah yang boleh diambil ialah desakan agar badan-badan sukan antarabangsa menggantung penglibatan pasukan dan atlet Israel dalam sukan antarabangsa.

“Sebagai contoh, pasukan bola sepak Israel masih dilaporkan aktif dalam pertandingan kelayakan Piala Dunia Zon Eropah walaupun kekejaman terhadap penduduk Gaza terus berleluasa tanpa sebarang tindakan politik yang jelas daripada pihak berkuasa global.

“Dalam keadaan sedemikian, tindakan mengetepikan pembabitan Israel dan warganya daripada aktiviti sukan serta sosial adalah langkah penting untuk membuktikan komitmen elit politik antarabangsa terhadap prinsip kemanusiaan sejagat,” katanya dalam kenyataan semalam.

Selain itu, Ahmad Fahmi berkata ABIM juga mengecam sekeras-kerasnya tindakan Amerika Syarikat melalui beberapa kenyataannya secara terang-terangan menafikan kesan serangan tidak berperikemanusiaan rejim Israel di Gaza.

ADS

Beliau berkata kenyataan itu bukan sahaja melanggar prinsip moral dan kemanusiaan sejagat, malah memberi justifikasi yang memperlihatkan pembelaan terhadap tindakan genosid yang sedang berlaku.

“Dengan angka kematian melebihi 700 orang dan majoritinya terdiri daripada kanak-kanak, usaha Amerika Syarikat untuk mewajarkan serangan ke atas Gaza ini tidak ubah seperti bersubahat secara langsung dengan jenayah kemanusiaan.

“Tindakan ini jelas mengabaikan suara masyarakat serta institusi-institusi antarabangsa yang telah menzahirkan bantahan terhadap kekejaman yang dilakukan secara semberono oleh Israel,” katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS
ADS
ADS