ADS
Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Warga emas mahu habiskan sisa hidup di Kg Sungai Baru

Penduduk yang dilahirkan dan dibesarkan di Kampung Sungai Baru menyatakan hasrat untuk terus tinggal di kampung berkenaan yang telah didiami sejak sekian lama.

Mereka antara penduduk yang masih tinggal di kampung itu dan enggan berpindah, bukan kerana pampasan semata-mata, tetapi kerana mahu mempertahankan rumah sebagai warisan keluarga.

Mengimbau kenangan zaman kanak-kanak di kampung dalam bandar itu, warga emas Kak Mai dan jirannya, Rugayah Said, berkongsi kisah sewaktu kawasan itu belum dikenali sebagai Kampung Sungai Baru.

Ketika ditemui di kampung itu, mereka memberitahu Malaysiakini bahawa kawasan tersebut dahulu dikenali sebagai Tanah Emas, sebelum sungai dialihkan pada awal 1960-an yang menyebabkan kampung itu dinamakan semula.

ADS

"Dulu situ sungai," kata Kak Mai (gambar atas, kiri) sambil menunjuk ke arah jalan ketika dia dan Rugayah duduk hadapan rumahnya.

"Bila sungai tu dah tukar ke belakang, jadi sungai baru. Jadi dinamakan Kampung Sungai Baru," kata bekas kakitangan awam itu sambil menunjuk ke arah bertentangan.

Dia menceritakan penduduk kampung menggunakan jambatan sebelum sungai itu dialihkan.

Dek kerana keadaan jambatan yang curam, mereka perlu ditemani ibu bapa untuk menyeberang jambatan berkenaan. Kini, jambatan itu sudah tiada — hanya tinggal jalan sempit dan deretan rumah.

"Saya nak (tinggal) sini juga. Sudah lepas 76 tahun," kata Rugayah, seorang suri rumah, dengan penuh harapan.

Penduduk seperti Kak Mai dan Rugayah diminta berpindah sejak bertahun lalu bagi memberi laluan kepada projek pembinaan rumah flat di kawasan berkenaan.

Menurut The Vibes, projek pembinaan bermula pada tahun 2016 dengan persetujuan 260 penduduk, tetapi dihentikan apabila 37 penduduk menentang projek tersebut.

Pemaju kemudian menggunakan Akta Pengambilan Tanah 1960 untuk mengambil alih tanah tersebut.

Nilai sentimental dan warisan

Bagi Kak Mai, kampung itu memiliki nilai sentimental kerana di situlah mengenali jiran-jiran dan tempat bermain.

“Nenek saya pernah pesan, jangan jual tanah kampung baru ni. Nanti kamu jadi hidup merempat," katanya.

Seorang lagi penduduk, Rafidah Ibrahim berkata dia tinggal di situ kerana nilai warisan kampung berkenaan.

ADS

"Kami nak kekalkan penduduk asal berada di sini,” kata wanita berusia 39 itu kepada Malaysiakini.

Rafidah membesar di kampung itu selepas ibu bapanya membeli salah sebuah rumah flat.

Rafidah Ibrahim duduk di sebelah Dr Mahathir Mohamad, semasa lawatan bekas perdana menteri itu di Kampung Sungai Baru hari ini

Namun, dia berkata penghuni flat berkenaan diarahkan mengosongkan kediaman mereka selewat-lewatnya 26 Mac — yang merupakan satu cabaran besar memandangkan tarikh tersebut jatuh dalam bulan Ramadan dan hampir dengan sambutan Aidilfitri.

Buat sementara waktu, dia dan anak-anak yang masih kecil tinggal di sebuah rumah milik jiran yang menumpangkan mereka atas belas kasihan.

Bukan soal kaum

Kerajaan baru-baru ini mencadangkan Akta Pembaharuan Semula Bandar (URA), tetapi ia mendapat banyak tentangan, termasuk daripada ahli politik yang bimbang akta itu akan mengubah demografi dan mengusir golongan miskin, termasuk orang Melayu dan India, dari bandar.

Namun bagi penduduk Kampung Sungai Baru, Siti Khadijah Ibrahim, isu itu bukanlah berkisar mengenai kaum.

"Ini isu hak pemilik tanah,” kata peniaga berusia 41 tahun itu kepada Malaysiakini.

Dia menyatakan kebimbangan terhadap pelaksanaan URA yang menurutnya hanya akan menyukarkan lagi perjuangan penduduk kampung berdepan kerajaan.

Pemimpin kerajaan bagaimanapun menegaskan akta itu bertujuan memperbaiki dan membangunkan semula kawasan perumahan usang dan terbiar di bandar-bandar utama, selain menafikan ia akan menyebabkan penduduk kehilangan tempat tinggal kerana mereka akan kekal sebagai pemilik.

Antara lain, rang undang-undang itu akan menurunkan ambang persetujuan untuk pembangunan semula daripada 100 peratus kepada 80 peratus pemilik rumah, atau serendah 51 peratus, bergantung pada usia dan keadaan perumahan tersebut.

Namun, Siti Khadijah tidak bersetuju dengan langkah menurunkan ambang persetujuan itu.

“Ini bukan pilihan raya, ada majoriti dan minoriti,” katanya.

Jika ada yang tidak bersetuju, katanya, sesuatu projek tersebut harus dibatalkan.

Pada Julai tahun lalu, dilaporkan seramai 219 pemilik rumah bersetuju sepenuhnya dengan rancangan pembangunan dan tawaran yang dikemukakan oleh pemaju.

Difahamkan 109 pemilik rumah yang tidak bersetuju telah diberikan pampasan antara RM190,000 hingga RM3 juta bergantung kepada jenis kediaman.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS
ADS
ADS