Pada pandangan Dr Mahathir Mohamad, kadar harga tanah yang wajar untuk penduduk Kampung Sungai Baru di Kampung Baru Kuala Lumpur jauh lebih tinggi berbanding apa yang ditawarkan pihak pemaju.
Kata bekas perdana menteri itu, penduduk di kawasan terbabit terdiri daripada kalangan orang yang berpendapatan rendah.
“Saya anggap RM3,000 sekaki persegi adalah harga yang patut,” katanya kepada media selepas mengadakan lawatan ke kawasan tersebut hari ini.
Turut hadir Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim.
Menurut Mahathir penduduk terbabit sebenarnya bukan menolak pembangunan namun kumpulan terbabit wajar diperlakukan dengan lebih adil supaya mereka dapat menikmati pulangan atas tanah berharga yang mereka miliki.
Kampung Sungai Baru terletak di tengah pusat bandar raya dengan pemandangan Menara Kuala Lumpur yang terkenal.
Pada Dis tahun lalu bekas menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad, memberitahu The Vibes bahawa pemaju telah menawarkan pampasan antara RM1,500 dan RM1,800 bagi setiap kaki persegi kepada mereka yang bersetuju dengan syarat yang ditawarkan.
Untuk kumpulan yang tidak bersetuju pula, mereka ditawarkan antara RM450 hingga RM600 sekaki persegi.

Menurut laporan portal itu, pembangunan bermula pada 2016 dengan mendapat persetujuan seramai 260 penduduk tetapi ia tidak dapat diteruskan apabila 37 keluarga menentangnya.
Pemaju kemudiannya menggunakan Akta Pengambilan Tanah 1960 untuk mendapatkan tanah tersebut.
Menggunakan kawasan Bukit Bintang sebagai perbandingan, Mahathir mendakwa kawasan dianggap segi tigga emas tu boleh mencecah sehingga RM7,000 bagi setiap kaki persegi.
Mahathir turut berpendapat pembangunan di Kampung Sungai Baru itu harus merangkumi peluang perniagaan untuk penduduk terbabit.
“Pembangunan hendaklah meliputi juga kedai-kedai yang boleh disewa oleh mereka untuk berniaga dan mendapat pulangan yang lebih tinggi, dan mereka mampu tinggal di kawasan yang sudah dibangunkan,” katanya.
Bagaimanapun menurut Mahathir, dia tidak dapat membantu penduduk kampung terbabit lebih daripada sekadar menyuarakan pandangan berkenaan.
“Jika saya tersalah cakap, polis akan panggil saya,” katanya.
Dalam sidang media sama, penduduk turut meminta bantuan Mahathir termasuk menggunakan peguamnya untuk membawa kes tersebut ke mahkamah. Bagaimanapun, pemimpin berusia 99 tahun itu sekadar berdiam diri.