WAWANCARA | Di persimpangan zaman yang meniti antara seni, spiritualiti dan sains, Prof Madya Hasnul J Saidon memberi makna bahawa wira sejati itu bukanlah penakluk dunia tetapi mereka yang berani melepaskan dendam serta berdamai dengan diri sendiri.
Ini antara pesan yang hendak disampaikan seniman visual dan pendidik ilmu kreatif institusi pengajian tinggi selama lebih 30 tahun itu melalui Pameran H3RO: Sedekad - Kasih dan Belas Kasihan Merentas Dimensi yang sedang berlangsung di Muzium dan Galeri Tuanku Fauziah (MGTF), Universiti Sains Malaysia (USM).
Pameran H3RO tentang sebuah kembara kesedaran—mengungkap cinta, kehilangan dan kemaafan dalam bingkai pengalaman yang meresap ke dalam jiwa.
Ia menggabungkan objek-objek arkib dan karya terbaru Hasnul bersama kolaborator seni, dengan sokongan pasukan MGTF.

Pameran ini kata Hasnul (gambar atas) bagi mengenang kedua ibu bapanya, bekas guru agama Allahyarham Saidon Pandak Noh dan usahawan busana Allahyarhamah Jamaliah Noordin yang membina kehidupan dari perkampungan kecil Teluk Kepayang hingga ke Teluk Intan di Perak sejak 1955.
"Sedekad" merujuk tempoh 10 tahun sejak pemergian Saidon pada 2014 dan Jamaliah pada 2024, selari dengan perjalanan proses karya H3RO ke seluruh negara melalui bengkel, tayangan filem dan persembahan seni.
Hasnul yang kini berusia 60 tahun berkata pameran H3RO secara umumnya memberi penghormatan kepada ibu bapa dalam dunia yang semakin mengejar materialisme, menyeru manusia kembali kepada nilai kasih sayang yang tidak terbatas.
Proses berkarya pameran ini bermula sekitar 2014 selepas dia berehat daripada ekosistem seni visual arus perdana. Idea asal tercetus daripada blog peribadi Hasnul bertajuk "Hero Saya," yang ditulis semasa allahyarham bapanya menghampiri penghujung hayat.

“Ketika ayah saya masih hidup, saya menulis tentang perubahan beliau daripada sosok hero yang gagah menjadi individu tua yang rapuh dan lemah,” ujarnya ketika wawancara bersama wartawan Malaysiakini di MGTF USM, Pulau Pinang baru-baru ini.
Kemudian, Anderson Ee rakan seni Hasnul mencadangkan agar tulisan tersebut diterjemahkan ke dalam bentuk filem pendek berjudul Hero yang secara kebetulan siap sejurus sebelum pemergian ayahnya.
Filem seni ini akhirnya berkembang menjadi satu refleksi mendalam tentang kehilangan, kenangan dan perjalanan kehidupan.
Setahun selepas pemergian bapanya, Hasnul menghasilkan filem seni kedua bertajuk Hero: Epilog yang memberi tumpuan kepada ibunya yang terkesan dengan kehilangan suami tercinta.
Jelajah seni, gali isu keluarga
Kedua-dua karya ini menjadi titik mula kepada siri jelajah seni ke seluruh negara, mempertemukan Hasnul dengan pelbagai komuniti yang berkongsi pengalaman peribadi dengan ibu-bapa masing-masing.
Hasnul memiliki latar belakang pendidikan Diploma Seni dan Reka Bentuk (Seni Halus) – Universiti Teknologi Mara (UiTM); Ijazah Sarjana Muda Seni (Lukisan) Southern Illinois University, Carbondale dan Sarjana Seni Halus (Seni Elektronik) dari Rensselaer Polytechnic Institute, Amerika Syarikat.
Dia mengkhusus dalam seni digital, seni video, lukisan dan teori media baru, serta aktif dalam penyelidikan berkaitan seni moden dan kontemporari Malaysia, kurasi pameran, reka bentuk maklumat dan transformasi muzium serta galeri.

Hasnul mendirikan rumah tangga bersama pelukis seni batik Rozana Mohamed pada 1990 dan dikurniakan tiga cahaya mata.
Sebagai seorang pengkaji seni dan pensyarah kanan di USM, Hasnul menyedari betapa pentingnya seni sebagai medium perbualan terbuka tentang emosi, trauma dan pemulihan jiwa.
Menurut Hasnul lagi, sepanjang sepuluh tahun proses berkarya H3RO dia telah bertandang ke sekolah, universiti dan komuniti luar bandar termasuk menemui golongan B40, mencetuskan perbincangan tentang isu-isu peribadi dan keluarga.
Masyarakat menua
"Banyak peserta berkongsi pengalaman mendalam, termasuk kehilangan, penceraian ibu bapa, trauma zaman kanak-kanak dan cabaran keluarga.
“Karya ini menjadi cermin yang membuka ruang perbualan jujur dalam masyarakat," kata Hasnul yang sebelum ini pengarah MGTF USM (2005 ke 2012 dan 2020 ke 2024).
Jelasnya, dia mengenal pasti empat isu utama masyarakat hasil interaksi bersama peserta sepanjang siri jelajah bengkel dan penciptaan karya seni itu.
“Pertama, hubungan keluarga yang rapuh, khususnya hubungan anak dan ibu bapa.
“Kedua, masyarakat menua (aging society) – generasi tua semakin tersisih, membawa implikasi sosial yang serius.
“Ketiga, kegagalan transmisi nilai – keluarga tidak lagi menurunkan nilai-nilai asas seperti kasih sayang dan empati, sebaliknya hanya menekankan kejayaan material.
“Keempat kesihatan mental yang merosot yang bermula dalam keluarga akibat tekanan sosio-ekonomi, dan keluarga menyebabkan masalah kesihatan mental yang serius, terutama dalam kalangan generasi muda,” katanya yang telah menulis lebih 24 buku dan menerbitkan 25 artikel ilmiah di peringkat antarabangsa.
Hasnul melihat isu ini bukan sekadar masalah tempatan, tetapi gejala sejagat yang berpunca daripada materialisme melampau dalam sistem kapitalisme pemangsa.
Pameran H3RO menyusuri kisah sebuah keluarga sebagai cerminan lebih luas pengalaman dan hubungan kemasyarakatan.

Sebagai seorang seniman yang pernah memenangi lapan anugerah antarabangsa dan 13 anugerah seni tempatan, Hasnul percaya seni bukan sekadar estetika tetapi alat kesedaran sosial dan spiritual.
“Seni harus bersifat cair, fleksibel dan seperti air mampu meresap ke dalam kehidupan harian tanpa dikotak-kotakkan mengikut kategori tertentu.
"Karya seni (dalam pameran) H3RO: Sedekad ini menggunakan medium yang pelbagai—daripada filem, lukisan, objek peninggalan keluarga, hingga bengkel interaktif—dan ia merupakan karya kolaborasi, bukan pameran solo konvensional," jelas Hasnul yang telah menyertai 60 pameran berkumpulan di peringkat tempatan dan 25 pameran berkumpulan di peringkat antarabangsa. Karya seni videonya pula dipertontonkan di 17 festival seni video antarabangsa sejak 1989.
Hasnul mengangkat seni aliran kontemporari yang melihat karya sebagai ruang dialog dan terapi, bukan sekadar objek pameran tetapi platform interaksi sosial.

“Bagi saya, seni (kontemporari) tidak seharusnya bersifat antagonistik atau menentang tradisi sebelumnya secara total, tetapi lebih bersifat transformatif.
“Maksudnya, kita mengambil unsur-unsur dari seni moden atau tradisi lama, lalu mengolahnya menjadi sesuatu yang relevan dengan zaman sekarang. Kita tidak menolak seni moden tetapi memperbaharuinya mengikut keperluan zaman,” katanya.
Seni moden merujuk seni dari akhir abad ke-19 hingga pertengahan abad ke-20 di Eropah dan di negara-negara barat yang masih berteraskan lukisan dan arca.
Seni kontemporari pula merangkumi teori dan amalan seni selepas 1950an di merata bahagian dunia yang bersifat lebih konseptual, merentas medium dan sering berkait dengan isu sosial, politik serta teknologi, menjadikannya lebih interaktif dan terbuka kepada pelbagai tafsiran.

Pameran H3RO berlangsung sejak Oktober 2024 hingga 27 Mac ini di Muzium dan Galeri Tunku Fuziah (MGTF) USM berjaya menarik perhatian pelbagai golongan, khususnya mereka yang ingin meneroka hubungan seni, identiti diri dan pengalaman kehidupan secara lebih mendalam.
Setakat ini, data MGTF menunjukkan sekitar 10,000 pengunjung dari pelbagai latar telah hadir untuk mengalami pameran tersebut.
Orang ramai juga boleh menikmati karya-karya ini melalui pengalaman menonton secara maya di atas talian dengan mengakses pautan berikut: ke pameran H3RO.
H3RO hasil karya penciptaan Hasnul bersama para seniman, termasuk Rozana Mohamed, Anderson Ee, Afzanizam Mohd Ali, Muhammad Husni Abd Latiff, Tetriana Ahmed Fauzi, Nur Fitrah Ramli, Muhammad Syakir Shahardi dan Ooi Yong Hui.
Pameran ini dikonsepkan dan dikurasi secara bersama oleh Hasnul, Afzanizam Mohd Ali dan Anderson Ee dengan sokongan teknikal dari pasukan MGTF USM.
Sementara itu, Hasnul berkata melalui H3RO dia mengetengahkan “seni experiential” yang mengutamakan pengalaman langsung penonton yang merasai sendiri emosi dan refleksi mendalam daripada karya yang dipamerkan.
"Zaman kini, masyarakat mencari pengalaman lebih daripada sekadar produk seni.
“Mereka ingin sesuatu yang mampu menenangkan jiwa dan minda, sesuatu yang seni experiential tawarkan," katanya.
Kosmologi, AI dan kuantum
Seiring dengan kajiannya yang merangkumi teori media baru, fizik kuantum dan kesedaran kosmologi, Hasnul percaya masa depan seni terletak pada gabungan teknologi dan dimensi spiritual.
Katanya, peradaban hari ini sedang bergerak ke arah gabungan seni dan teknologi digital yang lebih mendalam, dengan manusia menjadi sumber kecerdasan autentik yang bekerjasama dengan teknologi untuk mencapai kesejahteraan global.
Menurut Hasnul, ada tiga paradigma utama yang diyakininya akan mendominasi masa depan.
“Pertama adalah kosmologi – menekankan aspek spiritual dan kesedaran dalaman. Kedua adalah dunia maya dan digital, terutamanya kecerdasan buatan, AI – yang bakal membawa transformasi radikal teknologi dalam kehidupan manusia. Ketiga adalah fizik kuantum dalam konteks gelombang tenaga halus dan dimensi subatomik yang mencabar fahaman materialistik.
“Tiga paradigma ini akan menentukan banyak dasar masa depan, termasuk dalam pendidikan dan seni.
“Universiti atau institusi yang bersikap antagonistik terhadap perkembangan ini akan ketinggalan. Seni dan teknologi akan terus bercantum dan peranan kita sebagai seniman adalah menyediakan masyarakat menghadapi realiti baru ini dengan lebih peka dan sedar,” katanya yang terlibat dalam mereka bentuk program seni perintis di Unimas, UMS dan USM.
Dalam pada itu, Hasnul turut menyentuh intipati konsep kemaafan sebagai elemen penting dalam perjalanan hidup dan fasa terakhir karya H3RO apabila pengunjung pameran akan melalui jalan keluar dalam kegelapan sebagai penamat pameran.

“Apabila kita sudah berada dalam kegelapan, bersendirian di dalam terowong itu, kita hanya akan bertemu dengan diri kita yang sebenar—tiada sesiapa lagi selain kita sendiri.
“Pada detik itulah, kita perlu membuat keputusan: Adakah kita mahu terus menjadi mangsa keadaan, atau menjadi hero yang menyelamatkan kesedaran diri kita sendiri?
“Hakikatnya, kita hanya boleh menginapi minda dan perasaan kita sendiri, bukan orang lain.
“Satu cara penting untuk mencapai tahap kesedaran tinggi itu adalah melalui kemaafan—yakni melepaskan segala beban dan dendam yang selama ini menjadi penghalang dalam diri kita.
Berdamai dengan barah
“Akhirnya, hero itu sebenarnya ialah diri kita sendiri yang mampu melepaskan segalanya dan berdamai dengan diri sendiri,” kata Hasnul yang juga salah seorang pelopor seni media baru, seni elektronik dan seni konseptual Malaysia pada era 1990an.
Berdasarkan pengalaman peribadi Hasnul, kemaafan bukan sekadar teori tetapi realiti yang harus dilalui dengan penuh kesedaran.
Katanya, kemaafan bukan melupakan dan menafikan luka atau perasaan disakiti itu tetapi menerima, mengolah dan membebaskan diri daripadanya.
Hasnul turut berkongsi pengalaman getir hidupnya ketika berjuang mendepani kanser buah pinggang dan mengalami kesakitan luar biasa dua tahun lalu.
"Saya melihat kanser sebagai satu panggilan atau catalyst. Setiap orang ada panggilan tersendiri untuk menaikkan tahap kesedaran mereka. Bagi saya, kanser mencetuskan kebangkitan dalaman—mengajar saya erti reda, menerima, dan memaafkan.
“Dalam fasa paling sukar itu, saya mengalami kesakitan luar biasa—fizikal, mental dan emosi, hingga saya pernah terfikir untuk menyerah kalah. Tetapi dalam keadaan paling sakit itulah saya sedar kesakitan itu hanyalah sebahagian daripada satu ilusi yang bernama ‘Hasnul'.
“Ketika itulah saya memahami bahawa saya ada pilihan. Saya memilih untuk menerima kesakitan sebagai guru dan berdamai dengannya. Saya sedar kesembuhan bermula daripada hati—dengan niat yang jelas dan yakin terhadap Tuhan. Saya memilih untuk sihat, sejahtera, dan tenang, lalu pengalaman itu perlahan-lahan menjadi kenyataan.
“Kanser bukanlah lawan, tetapi guru yang mengajar saya berdamai dan membuat pilihan sedar untuk hidup bahagia," katanya.

Berikut wawancara bersama Prof Madya Hasnul J Saidon (diedit untuk kejelasan):
Apa sebenarnya maksud di sebalik pameran ini?
Jawapan: Pameran H3RO ini bermula sekitar sepuluh atau 11 tahun lepas, sekitar tahun 2014.
Sebenarnya, pada tahun 2010 hingga 2014, saya menghasilkan satu karya bertajuk "Hijab Seorang Pelukis" yang dipamerkan di Balai Seni Lukis Negeri Pulau Pinang.
Karya itu mempersoalkan keberadaan saya sebagai pelukis, satu usaha untuk menidakkan ego atau identifikasi palsu seperti label "aku pelukis".
Ia menjadi penanda kepada perjalanan saya dalam menyoal semula identiti dan ego dalam berkarya.
Bukankah personifikasi karya seni selalunya ditentukan oleh audiens atau mungkin artis itu sendiri?
Jawapan: Ya, boleh jadi kedua-duanya, tetapi biasanya personifikasi itu berlaku dalam kalangan audiens.
Dalam budaya tontonan dan kapitalis, personifikasi artis sering menjadi produk jualan. Akhirnya, karya seni dianggap sebagai personifikasi pelukis itu sendiri.
Ia menjadi suatu paradoks yang saya akui dan tidak cuba lawan, tetapi menjadi refleksi peribadi terhadap persoalan identiti.
Bila pameran di Balai Seni Lukis Pulau Pinang itu diadakan?
Jawapan: Sekitar tahun 2010 atau 2011. Selepas itu, saya memutuskan untuk bercuti sebentar daripada ekosistem seni visual, terutamanya galeri komersial yang dominan waktu itu.
Maksudnya, anda mengambil cuti daripada dunia seni visual atau galeri komersial?
Jawapan: Betul, khususnya daripada ekosistem arus perdana seni visual yang berasaskan sistem galeri komersial. Ini bukan penolakan total, tetapi saya mengambil masa untuk meneroka ruang alternatif lain yang sebelum ini kurang diberi perhatian kerana sibuk dalam ekosistem sedia ada.
Adakah ini juga mencerminkan perjalanan anda dalam dunia pendidikan seni?
Jawapan: Ya, saya juga mengambil sabatikal daripada sistem pendidikan seni dominan, yang pada pandangan saya sudah banyak dipengaruhi oleh ideologi kapitalisme liberal yang menitikberatkan produktiviti, keuntungan serta pencapaian kuantitatif dan material.
Saya menyoal semula sistem ini secara kritikal.
Boleh ceritakan perjalanan karya H3RO yang mengambil masa 10 tahun ini?
Jawapan: Semuanya bermula ketika ayah saya menghampiri penghujung hayat. Saya tulis blog berjudul Hero Saya tentang beliau—sosok yang dulu merupakan hero, namun kini sudah tua, lemah dan rapuh.
Sahabat saya, Anderson Ee, membaca tulisan itu dan terkesan. Dia mencadangkan supaya kami hasilkan filem pendek daripada cerita itu. Ketika kami mula rakam, ayah saya masih hidup. Anehnya, setelah filem Hero itu siap, ayah saya meninggal dunia. Filem ini menjadi seakan petanda awal pemergian beliau, seolah-olah satu kuasa di luar kawalan kami menggerakkan proses kreatif itu.
Pengalaman ini sangat menggoncang saya secara emosi dan spiritual. Ia membawa saya kepada suatu kesedaran yang mendalam tentang identiti, kehilangan, dan makna kehidupan.
Selepas kematian ayah, bagaimana anda meneruskan projek ini?
Jawapan: Setahun selepas pemergian ayah, kami hasilkan filem kedua bertajuk Hero: Epilog. Kali ini lebih menumpukan kepada ibu saya yang keseorangan setelah pemergian ayah. Ia menjadi satu bentuk terapi untuk saya kembali berpijak kepada realiti kehidupan, meskipun realiti itu saya sedar hanyalah pinjaman.
Saya kemudian mula membawa filem-filem ini dalam siri jelajah ke seluruh Malaysia, terutamanya ke kawasan luar bandar, sekolah, universiti dan komuniti B40. Saya mahu semua orang boleh kaitkan cerita ini dengan hidup mereka sendiri.
Apa reaksi umum masyarakat bila menonton filem ini?
Jawapan: Ramai yang terkesan kerana mereka turut melihat cerita mereka sendiri—hubungan dengan ibu bapa masing-masing.
Mereka berkongsi kisah yang sangat peribadi dan mendalam. Ada yang kehilangan ibu bapa, ada yang terpisah kerana konflik keluarga dan ada yang mengalami trauma masa kecil.
Ini memberi kesedaran kepada saya bahawa hubungan anak dengan ibu bapa adalah akar kepada banyak masalah sosial yang lebih besar.
Sepanjang 10 tahun menjelajah, apa isu besar yang ditemui di tengah-tengah masyarakat?
Jawapan: Secara umum, ada empat isu utama yang berulang: Pertama, hubungan keluarga yang rapuh, khususnya hubungan anak dan ibu bapa.
Kedua, isu masyarakat menua (aging society) – generasi tua semakin tersisih, membawa implikasi sosial yang serius.
Ketiga, kegagalan transmisi nilai – keluarga tidak lagi menurunkan nilai-nilai asas seperti kasih sayang dan empati, sebaliknya hanya menekankan kejayaan material.
Keempat kesihatan mental yang merosot - yang bermula dalam keluarga akibat tekanan sosio-ekonomi, dan menyebabkan masalah kesihatan mental yang serius, terutama dalam kalangan generasi muda.
Ini bukan sekadar masalah tempatan tetapi gejala global akibat sistem pemangsa kapitalisme materialistik.
Jadi, apakah peranan seni dalam konteks isu-isu ini?
Jawapan: Seni boleh jadi tingkap atau cermin yang membawa masyarakat melihat diri mereka dengan jujur. Melalui karya H3RO, saya menjadi fasilitator yang mendorong orang ramai berani untuk membuka hati dan berkongsi cerita sebenar mereka.
Saya percaya seni boleh mencetuskan kesedaran spiritual dan sosial—kesedaran tentang siapa kita sebenarnya, bukan siapa kita di mata masyarakat atau sistem ekonomi.
Karya ini bukan sekadar ekspresi artistik tetapi suatu bentuk kesedaran kolektif dan emansipasi diri yang sangat diperlukan masyarakat kita sekarang.
Kita mesti bangun daripada ilusi yang kita cipta sendiri. Inilah inti pati sebenar projek H3RO yang memakan masa 10 tahun ini.
Bagaimana anda melihat medium seni yang digunakan dalam karya H3RO, memandangkan ia menggunakan pelbagai medium seperti filem, bengkel seni, lukisan—bukan medium seni visual yang lazim?
Jawapan: Medium seni sebenarnya tidak patut terikat dengan label atau kategori tertentu. Seni bersifat cair seperti air—ia menyerap masuk dalam semua aspek kehidupan tanpa batasan.
Apa yang saya hasilkan dalam karya ini ialah gabungan banyak unsur harian yang tidak terhad kepada karya seni visual konvensional. Ia melibatkan objek peninggalan keluarga, filem, dan lukisan yang semuanya berbaur dengan memori peribadi.
Karya ini bukan pameran solo dalam erti kata biasa kerana melibatkan ramai pihak, terutama keluarga dan komuniti. Ia lebih tepat dianggap sebagai seni kolaboratif atau seni ko-kreasi. Sebab itu saya tak dapat melabelkan karya ini secara spesifik—ia adalah produk pengalaman, atau dalam istilah lain, seni experiential.
Apa yang dimaksudkan dengan seni experiential?
Jawapan: Seni experiential menekankan pengalaman langsung seseorang dengan karya. Zaman sekarang, masyarakat tidak hanya membeli produk atau objek, tetapi mereka mencari pengalaman yang menenangkan jiwa.
Contohnya kedai kopi—orang bukan datang semata-mata untuk minum kopi, tetapi untuk mendapatkan suasana damai, ketenangan mental, dan hubungan sosial.
Begitu juga pameran ini: ia direka untuk menjadi ruang pengalaman (experiential space). Kalau kita anggap ia sebagai rekaan, ia adalah experiential design.
Jika dilihat dari seni bina dalaman, ia adalah experiential interior. Fokus utama bukan pada objek seni, tetapi pada pengalaman peribadi yang timbul apabila seseorang berinteraksi dengannya.
Adakah pendekatan ini satu bentuk seni kontemporari?
Jawapan: Ya, pendekatan ini memang ciri seni kontemporari. Seni kontemporari tidak mengikut definisi atau kategori lama, sebaliknya mencairkan batas seni. Seni jenis ini tidak rigid, tidak hanya terhad kepada golongan seniman, tetapi merangkumi aktiviti-aktiviti harian masyarakat biasa yang mungkin tidak menganggap diri mereka sebagai artis.
Bagi saya, seni tidak seharusnya bersifat antagonistik atau menentang tradisi sebelumnya secara total, tetapi lebih bersifat transformatif.
Maksudnya, kita mengambil unsur-unsur dari seni moden atau tradisi lama, lalu mengolahnya menjadi sesuatu yang relevan dengan zaman sekarang. Kita tidak menolak seni moden tetapi memperbaharuinya mengikut keperluan zaman.
Anda pernah dianggap melawan konvensi seni visual Malaysia pada awal tahun 1990an dengan membawa pendekatan baru dalam seni yang tidak terbatas pada lukisan dan arca semata. Adakah benar begitu?
Jawapan: Saya tidak melihat diri saya sebagai seorang yang menentang konvensi secara radikal. Saya lebih selesa dengan istilah 'kritikal dengan kasih sayang'.
Saya membesar dalam tradisi seni moden Barat yang menekankan sains dan materialisme sebagai asas seni.
Tetapi, sebagai seniman tempatan, saya rasa kita perlu bersifat kritikal untuk mengolah semula tradisi ini agar sesuai dengan konteks tempatan dan spiritual kita.
Sebenarnya, karya-karya seni pada tahun 90-an yang dahulu dianggap pelik atau asing—seperti seni video, seni elektronik, seni digital atau seni media baru—kini telah menjadi lazim.
Pendekatan futuristik kami pada masa itu memang bertujuan melihat jauh ke depan, melibatkan kajian futurisme oleh tokoh seperti Alvin Toffler (Future Shock), John Naisbitt (Megatrends), dan Daniel Burrus (Technotrends).
Jadi, apa hala tuju seni dan masyarakat dalam tempoh sepuluh hingga 30 tahun akan datang menurut pandangan anda?
Jawapan: Ada tiga paradigma utama yang saya yakin akan mendominasi masa depan: Pertama adalah kosmologi – menekankan aspek spiritual dan kesedaran dalaman.
Kedua adalah dunia maya dan digital (terutamanya kecerdasan buatan, AI) – yang bakal membawa transformasi radikal teknologi dalam kehidupan manusia.
Ketiga adalah fizik kuantum dalam konteks gelombang tenaga halus dan dimensi subatomik yang mencabar fahaman materialistik.
Tiga paradigma ini akan menentukan banyak dasar masa depan, termasuk dalam pendidikan dan seni.
Universiti atau institusi yang bersikap antagonistik terhadap perkembangan ini akan ketinggalan. Seni dan teknologi akan terus bercantum dan peranan kita sebagai seniman adalah menyediakan masyarakat menghadapi realiti baru ini dengan lebih peka dan sedar.
Dalam konteks ini, pameran H3RO merupakan contoh bagaimana seni boleh bertindak sebagai platform pengalaman yang membawa kesedaran baharu—menghubungkan masa lalu, sekarang, dan masa depan secara harmoni.
Boleh perjelas lebih lanjut tiga paradigma yang disebut tadi?
Jawapan: Tiga paradigma ini menyentuh soal kesedaran (consciousness). Kosmologi adalah perspektif Timur tentang hakikat diri dan kewujudan.
Digital berkaitan dengan paradigma bukan benda tetapi algoritma yang kini berinteraksi rapat dengan kesedaran dalam konteks AI; manakala kuantum pula membincangkan fenomena immaterial yang mencabar fahaman materialisme saintifik.
Ketiga-tiganya, menurut saya, akan menjadi pengetahuan umum dalam masa terdekat.
Bagaimana anda melihat tanggapan umum bahawa seni hanya boleh dihargai oleh seniman atau pelukis, bukan masyarakat biasa?
Jawapan: Pandangan itu terhasil kerana seni sering dilabel dan dikategorikan secara sempit.
Sebenarnya, seni adalah pengalaman (experiential), bukan sekadar produk visual yang khusus. Seni boleh wujud dalam pelbagai bentuk harian—filem, tulisan, lukisan—dan dirasai oleh sesiapa sahaja tanpa perlu bergelar seniman.
Malah, dalam bidang reka bentuk experiential hari ini, orang tidak lagi bertanya tentang aspek teknikal sesuatu objek, tetapi bertanya tentang emosi atau rasa yang terhasil apabila menggunakan objek tersebut. Sebab itulah interaksi manusia dengan seni tidak boleh diganti sepenuhnya oleh teknologi, termasuk kecerdasan buatan (AI).
AI mampu menjawab soalan teknikal atau kuantitatif tetapi tidak boleh menjawab soalan subjektif seperti perasaan atau pengalaman manusia.
Apakah maksud seni pada masa depan akan lebih berasaskan gabungan antara manusia dan teknologi?
Jawapan: Ya, ke arah itulah kita bergerak. Seni, teknologi digital (AI) dan kefahaman kosmologi serta fizik kuantum akan bergabung, mencipta sintesis yang saya istilahkan sebagai authentic intelligence. Manusia adalah sumber kepada kepintaran asli manakala AI menjadi alat bantu.
Gabungan ini akan membawa manusia kepada kesedaran tentang realiti yang lebih besar—kesedaran infinit yang tidak terbatas oleh ruang fizikal atau material.
Ini bukan sekadar teknologi utopia tetapi evolusi seterusnya dalam hubungan antara manusia dengan dunia digital.
Tetapi bukankah ini membawa kita kepada satu realiti seakan-akan simulasi digital seperti filem The Matrix?
Jawapan: Memang benar, kita sebenarnya sudah hidup dalam sejenis simulasi atau "headset" realiti. Dalam perspektif kosmologi atau kuantum, dunia fizikal termasuk badan dan otak kita sebenarnya hanyalah satu lapisan daripada realiti yang lebih besar.
Sebelum "headset" itu dipakai, kita berada dalam satu keadaan infinit tanpa permulaan dan pengakhiran—keadaan yang dalam kosmologi disebut "Azali".
Apa yang menentukan pengalaman kita dalam simulasi ini adalah pilihan atau niat (prompt). Pilihan ini bukan berasal daripada fikiran semata-mata tetapi daripada hati, atau apa yang benar-benar kita inginkan.
Dalam simulasi kehidupan ini, hati kita berfungsi sebagai arahan (prompt) yang menentukan apa yang kita alami. Kesedaran tentang hal ini akan menjadi umum dalam masa sepuluh tahun lagi, dan akan mengubah bagaimana manusia memahami seni, teknologi, dan realiti itu sendiri.
Apa pentingnya memahami konsep-konsep berat atau kompleks sebegini?
Jawapan: Semua ini akhirnya berkait kembali dengan tema H3RO. Asalnya hero dalam naratif ini saya kaitkan dengan ibu bapa saya, tetapi sebenarnya mereka hanyalah perantara atau simbol.
Hakikatnya, hero itu melibatkan tiga watak penting: ibu, bapa, dan anak. Namun, akhirnya dalam perjalanan kehidupan, setiap orang akan sampai ke suatu titik di mana dia tinggal sendirian dalam kegelapan—bersemuka dengan dirinya sendiri.
Pada saat itu, kitalah sebenarnya hero. Kita yang menentukan sama ada mahu menjadi mangsa (victim) atau menjadi wira yang menyelamatkan kesedaran diri sendiri.
Dan salah satu cara untuk menjadi wira dalam perjalanan ini adalah dengan memaafkan—melepaskan segala beban dan dendam yang kita pegang selama ini.
Kefahaman tentang perkara yang kompleks ini penting supaya orang lain dapat lebih memahami maksud karya ini. Untuk permudahkan, saya perlu tahu dahulu perkara yang berat dan kompleks ini?
Jawapan: Ya, memang kita perlu kembali kepada intipati karya ini iaitu konsep "hero". Persoalan pentingnya ialah siapa sebenarnya hero yang dimaksudkan dalam karya ini?
Tetapi hero ini adalah satu naratif kan? Maksudnya, sebuah teori naratif?
Jawapan: Betul, pada asalnya hero dalam karya ini saya gambarkan sebagai ibu bapa saya sendiri.
Namun hakikatnya mereka hanyalah simbol atau perantara sahaja. Ada tiga watak utama di situ, iaitu ibu, bapa, dan anak.
Tetapi akhirnya, dalam perjalanan hidup ini, sampai satu tahap kita akan melalui satu "terowong" atau fasa gelap bersendirian.
Ketika itulah kita berhadapan dengan diri kita sendiri tanpa sesiapa pun. Pada saat itu, kitalah sebenarnya hero dalam kisah hidup ini.
Di penghujung naratif pameran H3RO ini, apa maksud Prof tentang konsep kemaafan yang sebenarnya?
Jawapan: Itu fasa terakhir perjalanan tersebut. Apabila kita sudah berada dalam kegelapan, bersendirian di dalam terowong itu, kita hanya akan bertemu dengan diri kita yang sebenar—tiada sesiapa lagi selain kita sendiri.
Pada detik itulah, kita perlu membuat keputusan: adakah kita mahu terus menjadi mangsa (victim) keadaan, atau menjadi hero yang menyelamatkan kesedaran diri kita sendiri?
Hakikatnya, kita hanya boleh menginapi minda dan perasaan kita sendiri, bukan orang lain.
Satu cara penting untuk mencapai tahap kesedaran yang tinggi itu adalah melalui kemaafan—yakni melepaskan segala beban dan dendam yang selama ini menjadi penghalang dalam diri kita.
Akhirnya, hero itu sebenarnya ialah diri kita sendiri yang mampu melepaskan segalanya dan berdamai dengan diri sendiri.
Boleh kongsi sedikit pengalaman anda sebagai seorang ‘survivor’ kanser?
Jawapan: Saya melihat kanser sebagai satu panggilan atau katalis. Setiap orang akan ada panggilan tersendiri untuk menaikkan tahap kesedaran mereka. Bagi saya, kanser itu mencetuskan kebangkitan dalaman—mengajar saya erti reda, menerima dan memaafkan.
Dalam fasa paling sukar itu, saya mengalami kesakitan luar biasa—fizikal, mental dan emosi, hingga saya pernah terfikir untuk menyerah kalah.
Tetapi dalam keadaan paling sakit itulah saya sedar bahawa kesakitan itu hanyalah sebahagian daripada satu ilusi yang saya namakan "Hasnul". Ia bukan hakikat sebenar diri saya.
Ketika itulah saya memahami bahawa saya ada pilihan. Saya memilih untuk menerima kesakitan sebagai guru dan berdamai dengannya.
Saya sedar kesembuhan bermula daripada hati—dengan niat yang jelas dan yakin terhadap Tuhan. Saya memilih untuk sihat, sejahtera, dan tenang, lalu pengalaman itu perlahan-lahan menjadi kenyataan.
Kanser bukanlah lawan, tetapi guru yang mengajar saya berdamai dan membuat pilihan sedar untuk hidup bahagia.