ADS
Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Rayuan AGC terkait titah tambahan didengar esok
Diterbitkan:  Mar 23, 2025 10:35 AM
Dikemaskini: 2:35 AM

Permohonan Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk mendapatkan kebenaran merayu keputusan Mahkamah Rayuan berhubung dokumen tambahan dalam kes membabitkan bekas Perdana Menteri Najib Razak, akan didengar di Mahkamah Persekutuan esok.

Menerusi semakan sistem mahkamah, AGC yang memfailkan notis rayuan berkenaan pada 4 Feb dan ia dijadualkan didengar pada 9 pagi di Mahkamah Persekutuan 1.

Pada 6 Jan lalu, Mahkamah Rayuan dalam keputusan majoriti 2-1, mengembalikan kes Najib berhubung dakwaan mengenai kewujudan dokumen tambahan yang membolehkan dia menjalani baki hukuman penjara enam tahun di rumah ke Mahkamah Tinggi untuk pendengaran merit.

Mahkamah Rayuan membuat keputusan tersebut selepas membenarkan rayuan Najib terhadap keputusan mahkamah tinggi yang sebelum ini menolak permohonannya untuk mendapatkan kebenaran memulakan semakan kehakiman berhubung dakwaan kewujudan dokumen tambahan itu.

Najib, 71, dalam permohonan semakannya memohon perintah mandamus bagi mengarahkan responden memberi jawapan serta mengesahkan kewujudan dokumen tambahan bertarikh 29 Jan tahun lalu.

ADS

Dia menamakan Menteri Dalam Negeri, Komisioner Jeneral Penjara, Peguam Negara, Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang di JPM serta Kerajaan Malaysia sebagai responden.

Najib turut memohon perintah agar sekiranya dokumen tambahan tersebut wujud, semua responden atau mana-mana seorang daripada mereka melaksanakannya serta-merta, termasuk memindahkan dia dari Penjara Kajang ke kediamannya di Kuala Lumpur bagi menjalani baki hukuman penjara di rumah.

Pada 3 Julai tahun lepas, hakim Amarjeet Singh, yang menolak permohonan Najib untuk mendapatkan kebenaran memulakan semakan kehakiman, memutuskan bahawa empat afidavit yang dikemukakan bagi menyokong dakwaan Najib termasuk kenyataan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan Naib Presiden Umno, Wan Rosdy Wan Ismail, dianggap sebagai khabar angin dan tidak boleh diterima sebagai bukti di mahkamah.

Najib kini menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Mahkamah tinggi sebelum itu menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta ke atas Najib. Keputusan itu dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan dan Persekutuan kemudian.

Dia kemudiannya memfailkan petisyen bagi mendapatkan pengampunan diraja pada 2 Sept 2022.

Lembaga pengampunan mengurangkan hukuman penjara daripada 12 tahun kepada enam tahun manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS
ADS
ADS