ADS
Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ambulans bawa pesakit terbabas, langgar pokok di Marang
Diterbitkan:  Mar 23, 2025 10:25 AM
Dikemaskini: 2:25 AM

Seorang pesakit bersama petugas perubatan berdepan detik cemas apabila ambulans dinaiki mereka terbabas di Kilometer 49 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan berhampiran Jambu Bongkok di Marang, tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Marang, Supt Mohd Sofian Redzuan, berkata pihaknya menerima maklumat berhubung kemalangan itu pada jam 12.30 tengah malam dari kaunter aduan trafik ibu pejabat polis daerah berkenaan.

Katanya siasatan mendapati kemalangan berpunca apabila tayar belakang sebelah kiri van Toyota Hiace milik Kementerian Kesihatan Malaysia itu tiba-tiba pecah sebelum terbabas ke kiri jalan dan melanggar sebatang pokok.

Kenderaan tersebut, kata Mohd Sofian, membawa seorang pesakit wanita berusia 21 tahun

“Turut menaiki ambulans yang dalam perjalanan dari Hospital Kemaman ke Hospital Sultanah Nur Zahirah itu ialah seorang doktor wanita berusia 28 tahun, dua orang jururawat dan seorang pemandu lelaki," katanya dalam kenyataan di Kuala Terengganu hari ini.

ADS

Dia berkata pemandu dan semua penumpang yang hanya mengalami kecederaan ringan telah dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah untuk menerima rawatan lanjut.

Mohd Sofian meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu untuk menghubungi pegawai penyiasat di talian 09-6182222 bagi membantu siasatan.

Katanya siasatan dibuat mengikut Peraturan 10 Kaedah-kaedah Lalu Lintas Jalan 1959.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS
ADS
ADS